GENTING HIGHLANDS, 28 April 2025 - Kementerian Pertahanan kini giat melaksanakan persiapan akhir bagi penganjuran Track II Network of ASEAN Defence and Security Institutions (NADI) Annual General Meeting yang akan berlangsung dari 28 April hingga 1 Mei 2025.
NADI berfungsi sebagai platform dialog berterusan dan pertukaran intelektual antara institusi pertahanan dan keselamatan negara anggota ASEAN. NADI ditubuhkan bagi menyokong proses rasmi Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN (ADMM) selain memainkan peranan penting dalam membina kepercayaan bersama, meningkatkan ketelusan, dan memperkukuh langkah-langkah keyakinan serantau.
Melalui mesyuarat, bengkel dan penyelidikan bersama, NADI menyumbang pandangan strategik serta cadangan dasar yang bernilai bagi memperkukuh keamanan, kestabilan dan keselamatan serantau. Usaha NADI juga menyokong pembinaan kapasiti dan pengukuhan kerjasama institusi di seluruh ASEAN, ke arah mewujudkan seni bina keselamatan serantau yang lebih padu, responsif dan berdaya tahan.
Malaysia komited memastikan kelancaran penganjuran mesyuarat berprestij ini, sejajar dengan peranan aktif dalam memperkukuh kerjasama pertahanan serantau.