LANGKAWI, 20 Mei 2025 - YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Diraja Anwar bin Ibrahim menyempurnakan Acara Fleet Review sempena Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2025 (LIMA ’25), yang melibatkan 31 buah kapal dari dalam dan luar negara.
Acara penuh tradisi tentera laut ini berlangsung di atas KD PERANTAU sebagai platform utama, dengan sambutan hormat oleh Panglima Tentera Laut, Laksamana Datuk (Dr.) Zulhelmy bin Ithnain.
Sebanyak 14 kapal TLDM, 5 kapal APMM, dan 12 kapal antarabangsa dari 10 negara — termasuk India, Jepun, Turkiye, Amerika Syarikat dan Rusia — mengambil bahagian dalam acara penuh istiadat ini, memperlihatkan hubungan diplomatik maritim yang kukuh serta kehadiran strategik Malaysia di pentas dunia.
Acara diserikan lagi dengan terbang lintas hormat (fly-past) melibatkan aset udara TLDM, APMM dan PDRM – satu simbol kebanggaan terhadap kesiapsiagaan dan kerjasama pelbagai agensi maritim negara.
LIMA ’25 terus memperkukuh peranan Malaysia sebagai negara maritim strategik dan menjadi platform penting memperluas kerjasama pertahanan serantau dan global.