SABAH, 2 Julai 2025 - Angkatan Tentera Malaysia (ATM) meneruskan usaha memupuk semangat patriotisme dalam kalangan penduduk pulau di Pantai Timur Sabah menerusi pelaksanaan program kenegaraan yang diadakan pada 1 hingga 2 Julai 2025 di beberapa sekolah sekitar Pulau Banggi, Kudat seperti SK Semayan, SK Balambangan, dan SK Dogoton.
Program ini bertujuan mendekati komuniti persempadanan maritim yang jauh dari tanah besar serta memastikan golongan pelajar tidak terpinggir daripada penyertaan dalam program kerajaan. Antara fokus utama adalah memupuk semangat cinta akan negara dalam kalangan murid sebagai persediaan mempertahankan kedaulatan tanah air.
Pada 2 Julai, di SK Dogoton, seramai 10 anggota dan pegawai ATM bersama 96 guru dan pelajar telah menyertai pelbagai aktiviti seperti Pemasangan bendera Malaysia, Ceramah kenegaraan dan Pengagihan barangan Relation Building Items (RBIs).
ATM turut menegaskan komitmen mereka untuk terus bekerjasama dengan rakyat dalam menjaga keselamatan negara daripada ancaman dalaman mahupun luar.