BERLIN, 14 Mei 2025 - Menteri Pertahanan, YB Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin telah berkongsi pandangan Malaysia dalam sesi “High-Level Session” UN Peacekeeping Ministerial 2025 bertajuk “Peacekeeping Reform: More Effective and Safer Peacekeeping”.
YB Menteri Pertahanan menyatakan pendirian Malaysia bahawa reformasi misi pengaman amat penting untuk meningkatkan keberkesanan operasi dan keselamatan anggota di lapangan.
Melalui itu, beliau menggariskan dua anjakan utama. Pertama, memperkukuh keupayaan pasukan melalui peralatan dan persenjataan termaju yang mampu bertindak sebagai elemen pencegahan, meningkatkan keupayaan tindak balas, dan menaikkan moral anggota. Kedua, pelaburan berterusan dalam latihan dan pembangunan kapasiti bagi memastikan tahap kecekapan serta keselamatan operasi sentiasa terpelihara.
Malaysia turut menegaskan bahawa kemajuan teknologi perlu diselaraskan dengan penyesuaian dasar, termasuk pengemaskinian prosedur operasi standard serta penetapan garis panduan dan etika penggunaan teknologi.
Malaysia percaya bahawa langkah-langkah ini akan menyumbang kepada pasukan pengaman yang lebih efektif berpaksikan nilai tanggungjawab yang mendalam.