GENTING HIGHLANDS, 30 April 2025 – Majlis penutup Track II Network of ASEAN Defence and Security Institutions (NADI) Annual General Meeting telah berlangsung dengan jayanya di Resorts World Awana, Genting Highlands, Pahang, menandakan berakhirnya sesi perbincangan strategik yang berlangsung sejak 29 April lalu.
Mesyuarat ini telah menghimpunkan 43 delegasi dari 13 institusi pertahanan dan keselamatan negara-negara anggota ASEAN yang membincangkan pelbagai cabaran semasa dan peluang kerjasama dalam memperkukuh perpaduan, keselamatan dan kestabilan serantau.
Malaysia, selaku Pengerusi NADI 2025 dan tuan rumah mesyuarat kali ini, mengulangi komitmen untuk terus menyokong agenda pertahanan ASEAN serta memperkasakan dialog strategik menerusi platform NADI ke arah keamanan dan kemakmuran serantau yang berterusan.