LUBNAN, 5 April 2025 – Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Datuk Haji Mohd Nizam bin Haji Jaffar bersama Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, YBhg. Datuk Lokman Hakim bin Ali mengetuai delegasi Lawatan Kerja rasmi ke Lubnan dari 2 hingga 5 April 2025 bagi menzahirkan sokongan padu Malaysia terhadap penglibatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam Misi Pengaman Bangsa-Bangsa Bersatu (UNIFIL).
Lawatan dimulakan dengan Kunjungan Hormat oleh YBhg. Datuk Lokman Hakim ke atas Duta Besar Malaysia ke Lubnan, TYT Azri Mat Yacob, dan sesi ramah mesra bersama warga Kedutaan serta kakitangan tempatan. Delegasi kemudiannya diberikan taklimat menyeluruh berkenaan aspek keselamatan, operasi taktikal, pengurusan logistik serta peranan strategik ATM dalam kerjasama pertahanan antarabangsa.
Delegasi turut meninjau dua kem utama di bawah tanggungjawab MALBATT 850-12, iaitu Kem Marakah dan Kem Harris (UNP 6-40) serta Kem Tibnine (UNP 6-43), selain merasmikan Garaj Kenderaan MALBATT 850-12 yang menandakan satu lagi pencapaian penting dalam aspek logistik dan kesiapsiagaan pasukan. Lawatan ini memberi ruang kepada delegasi menilai keperluan semasa, semangat juang dan kebajikan anggota bertugas di lapangan.
Seterusnya, delegasi telah mengadakan Kunjungan Hormat ke atas UNIFIL Force Commander dan Sector West Commander di Ibu Pejabat UNIFIL, Naqoura, sekali gus memperkukuh kerjasama strategik dengan pasukan pengaman antarabangsa. Lawatan turut diserikan dengan Majlis Sambutan Aidilfitri bersama warga MALBATT 850-12 bagi menghargai pengorbanan mereka yang bertugas jauh dari tanah air.
Mengakhiri rangka lawatan, Panglima Angkatan Tentera dan Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan telah mengadakan pertemuan bersama Commander of the Lebanese Armed Forces, General Rodolph Haykal. Pertemuan ini memberi fokus kepada memperkukuh hubungan dua hala ketenteraan antara Malaysia dan Lubnan serta membincangkan potensi kerjasama strategik dalam misi pengaman PBB pada masa akan datang.
Lawatan ini mencerminkan iltizam berterusan Kementerian Pertahanan dan ATM dalam memastikan keberkesanan penyertaan Malaysia dalam operasi pengaman sejagat, serta komitmen tinggi dalam memperkukuh diplomasi pertahanan dan hubungan ketenteraan di peringkat global.