Majlis Penutupan dan Penyampaian Diploma Maktab Pertahanan Angkatan Tentera (MPAT) Siri 25/2005
Khamis, 05 Januari 2006 16:00
Bismillahirrahmanirrahim,

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera,

Yang Berbahagia Panglima-Panglima Perkhidmatan dan Ahli-Ahli Lembaga MPAT

Yang Berbahagia Profesor Dr Shamsudin A Rahim, Dekan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia,

Yang Berbahagia Laksma Dato' Kamal Darus, Komandan Maktab Pertahanan Angkatan Tentera (MPAT),

Para Pensyarah, tuan-tuan dan puan-puan yang saya hormati sekalian.

Terlebih dahulu marilah kita memanjatkan rasa kesyukuran ke hadrat Allah S.W.T. kerana dengan limpah kurnia dan keizinan-nya kita diberi kesiahtan dan kekuatan untuk bersama-sama di pagi yang mulia ini bagi menjayakan Majlis Penutupan Kursus MPAT Siri 25/2005 dan seterusnya penyampaian diploma MPAT.

Sempena dengan majlis yang sungguh bermakna ini, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada tuan-tuan yang telah berjaya menamatkan pengajian dalam bidang Kajian Pertahanan pada kali ini. Saya percaya ilmu dan pengalaman dalam bidang Kajian Pertahanan pada kali ini. Saya percaya ilmu dan pengalaman yang diperolehi di maktab ini dapat menyiapkan serta menambahkan keyakinan tuan-tuan untuk menjawat jawatan yang lebih tinggi serta mencabar di dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan juga perkhidmatan awam. Apatah lagi, tuan-tuan dilihat sebagai bakal pemimpin di peringkat tertinggi dalam perkhidmatan masing-masing pada masa depan.

Tuan-tuan dan puan-puan,

Penganugerahan diploma pada hari ini juga adalah merupakan satu kejayaan kepada negara. Saya yakin dengan pengalaman dan ilmu yang dipelajari selama satu tahun di maktab ini berjaya menghasilkan mereka yang boleh dipertanggungjawabkan sebagai pemimpin dan penasihat dalam pengubahan daar serta strategi yang lebih berdaya saing seterusnya dapat memperkukuhkan organisasi masing-masing.

Usaha melengkapkan diri tuan-tuan dengan ilmu yang secukupnya adalah sejajar dengan pengalaman Field Marshal Sir Viscount Slim yang menyatakan bahawa intelek adalah asas kepada peningkatan moral selain daripada 'spiritual' dan 'material'. Bagaimanapun kita tidak boleh alpa bahawa pengetahuan dan kelayakan yang tinggi sahaja adalah tidak memadai sekiranya nilai-nilai peribadi yang tinggi dan akhlak tidak dijaga boleh menjejaskan maruah serta imej perkhidmatan.

Tuan-tuan dan puan-puan,

Dalam era globalisasi ini, kita telah dapat menyaksikan banyak perubahan berlaku dalam dunia pendidikan sama ada dalam organisasi ketenteraan mahupun awam. Perubahan ini berlaku kerana setiap institusi pendidikan bersaing untuk memberikan ilmu-ilmu terbaru kepada pelajar masing-masing. Malah, setiap institusi tidak mahu dianggap menyediakan kursus atau pengajian yang telah ketinggalan zaman atau telah usang. Lantaran itulah, pelbagai inovasi dilakukan demi memastikan setiap pelajar mendapat input terbaik serta mempunyai pemikiran yang tajam berdasarkan ilmu-ilmu terbaru yang diperturunkan.

Usaha ini bukan sahaja giat berjalan di institusi pengajian tinggi awam atau swasta di dalam mahupun di luar negara, tetapi turut meliputi seluruh institusi pendidikan ketenteraan. Disebabkan itulah saya percaya bahawa setiap silibus kursus ini hendaklah sentias dibuat penilaian dan diperhalusi setiap tahun. Ini bagi memastikan setiap pelajar akan mendapat pendidikan terbaik dan seluas mungkin meliputi hal pengurusan pertahanan, keselamatan dan konflik menerusi penambahbaikan yang dilakukan. Mana-mana silibus yang didapati masih releven hendaklah terus dikekalkan.

Seorang Profesor di Havarad Business School, Rosabert Moss Kanter pernah berkata, survival sesuatu organisasi itu adalah bergantung kepada keberanian (courage) dan imaginasi untuk membentuk sesuatu yang baru dan sealiran. Justeru, saya percaya tidak salah untuk kita membuat penilaianh dengan lebih kerap terhadap silibus kursus ini agar seiring dengan era kontemporari.

Tambahan pula cabaran yang terdapat di sekeliling kita sering berubah. Corak hubungan serantau dan dua hala negara-negara di rantau ini ada kalanya berubah mengikut senario semasa. Ini menuntut kita untuk memahaminya dengan pantas, tepat dan jelas supaya kita tidak ketinggalan atau tersilap dalam membuat keputusan yang strategik.

Untuk itu, tenaga pengajar di maktab ini perlu memantau dan menghalusi setiap perkembangan yang berlaku bukan sahaja berkait rapat dengan isu-isu keselamatan tetapi juga soal hubungan dua hala, ekonomi, politik dan sebagainya. Ini supaya mereka yang mengikuti kursus disini mendpat ilmu-ilmu yang terkini, segar dan tidak mengalami kejutan dengan isu-isu semasa yang ada selepas menamatkan pengajian disini.

Harapan saya, biarlah mereka yang keluar dari MPAT dilihat sebagai pegawai yang mempunyai keupayaan menganalisis yang baik, pemikiran strategic kelas tinggi dan boleh membuat keputusan yang cepat serta tepat di organisasi masing-masing berdasarkan pengalaman serta silibus yang diikuti.

Tuan-tuan dan puan-puan,

Penganugerahan diploma serta ijazah serjana berkaitan kursus ini adalah satu pengiktirafan yang besar terhadap ATM yang sentiasa berusaha untuk meningkatkan kebolehan dan kemampuan pegawai-pegawai kanannya bukan sahaja di dalam bidang ketenteraan malah di bidang akademik. Oleh yang demikian, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang telah berusaha keras menjayakan program ini sehingga mendapat pengiktirafan. Ini jelas membuktikan bahawa MPAT yang dibantu oleh UKM, secara tidak langsung memainkan peranan yang penting dan berpengaruh dalam pembentukan bakal-bakal ketua dan pemimpin organisasi.

Tuan-tuan dan puan-puan,

Sebagai sebuah negara yang berdaulat, Malaysia juga ingin bersuara dan menjadi pemain penting dalam arena antarabangsa. Dalam memainkan peranan ini, negara kita tidak terlepas dari asakkan dan konfrantasi yang dicetuskan oleh pihak-pihak luar untuk kepentingan mereka. Alhamdulillah, sehingga kini negara kita telah berjaya menghadapi krisis dengan baik melalui dasar dan strategi pertahanan yang praktikal.

Francais Bacon berpendapat bahawa pencarian kekayaan serta kejayaan sesebuah negara adalah melalui pengetahuan saintifik yang menjurus kepada keamanan berbanding menggunakan kekuatan ketenteraan. Oleh yang demikian, kementerian telah melihat betapa kefahaman strategi pertahanan yang tuan-tuan pelajari amat penting untuk diaplikasikan bagi membendung konflik serantau dan global.

Dalam hal perhubungan antarabangsa kita melihat peranan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) amat penting bagi menentukan keamanan sejagat. Dasar multilateralisme harus dijadikan sebagai dasar dan menjadi matlamat penting ke arah penambahbaikan PBB. Kita yakin bahawa system multilateral di bawah payung PBB adalah jaminan terbaik daripada penggunaan kuasa mutlak yang tidak mempedulikan undang-undang antarabangsa. Pembabitan ketenteraan dewasa ini telah menjangkau luar dari 'spectrum' yang sedia ada. Banyak terdapat 'grey area' yang akan melibatkan kita melaksanakan operasi selain dari peperangan (Operation Other Than War (OOTW).

Bagi tuan-tuan yang telah memahami dan mempelajari strategi pertahanan dan perhubungan antarabangsa, harus memahami sebab-sebab konflik yang akan berlaku mungkin datang daripada percaturan politik yang kompleks, ekonomi dan juga bertujuan strategic. Seperti ungkapan Karl Von Clausewitz 'War is the continuation of a policy by other means'.

Tuan-tuan dan puan-puan,

Isu-isu antarabangsa kini semakin rumit dan pada bila-bila masa boleh memberi kesan kepada hubungan diplomatic, sosioekonomi dan keselamatan negara. Kita mestilah sentiasa bersedia untuk mengelakan diri daripada terjerumus ke dalam kancah konflik yang merugikan pembagunan negara. Oleh yang demikian, strategi pertahanan kita perlu sentiasa dinamik dan kenyal supaya mampu untuk disesuaikan dengan pelbagai senario yang dihadapi oleh negara. Saya percaya dengan pengetahuan yang ada, tuan-tuan boleh melihat isu-isu ini dan dapat memberi sumbangan kepada negara.

Perkara utama dalam kekuatan dimensi pepernagan masa kini adalah perhubungan diantara pihak awamd an tentera. Hubungan awam dan tentera (civil-military relation) tidak dapat dipisahkan dan perlu diperkukuhkan lagi bagi menjalin kesefahaman dan kerjasama diantara perkhidmatan dan agensi-agensi pada masa yang diperlukan. Disamping itu juga, media turut dikenalpasti memainkan peranan yang sangat penting di dalam beberapa konflik di abad ini. Justeru, pemahaman peranan media adalah merupakan sesuatu yang perlu ada kepada pegawai atasan ketenteraan.

Tuan-tuan dan puan-puan,

Seperkara lagi, sesuai dengan aspirasi negara yang ingin mewujudkan pusat pendidikan pertahanan bertaraf antarabangsa, Kementerian Pertahanan kini bersetuju pada dasarnya untuk membina Pusat Pengajian Pertahanan Nasional (PUSPAHANAS) yang mengandungi dua institusi iaitu Maktab Pertahanan Nasional (MPN) serta Maktab Pemerintahan dan Turus Angkatan Tentera (MPTAT). Dengan wujudnya institusi ini, proses pembelajaran pegawai-pegawai tentera kita akan lebih meluas dan mendalam. Azam kementerian untuk menjadikannya setaraf dengan institusi pertahanan antarabangsa. Insya-Allah, berkat doa dan kesungguhan kementerian, kewujudannya akan menjadi kenyataan tidak lama lagi.

Perlantikan MPAT sebagai tuan rumah untuk menganjurkan Mesyuarat Pengetua-Pengetua Universiti, Maktab dan Institusi Pertahanan Asean Regional Forum ke 10 yang akan diadakan di Kuala Lumpur mulai 4 hingga 7 September tahun ini adalah selaras dengan usaha kerajaan memartabatkan lagi ASEAN dalam agenda utama iaitu keselamatan sejagat (collective security) dan juga hasrat ASEAN kepada 'one vision, one identity, one community'. Ini secara langsung akan memperkenalkan MPAT di peringkat antarabangsa.

Tuan-tuan dan puan-puan,

Di kesempatan ini, saya sekali lagi mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan syabas kerana tuan-tuan telah berjaya memperolehi diploma MPAT dan sekiranya diluluskan oleh Senat UKM, dianugerahkan Ijazah Sarjana Saster (Kajian Pertahanan). Tahniah juga saya ucapkan kepada pasangan tuan-tuan kerana sanggup bersama-sama berkorban masa dan tenaga demi memastikan kejayaan ini tercipta.

Tahniah juga kepada Komandan MPAT, Dekan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, UKM, Ahli-Ahli Fakulti Maktab kerana telah berusaha keras bagi memastikan kejayaan para graduan.

Akhir kata, selamat maju jaya dengan harapan semoga kejayaan pada hari ini akan membuka satu lembaran baru untuk tuan-tuan agar terus mencipta kejayaan dan kecemerlangan pada masa depan.

Sekian.