KUALA LUMPUR, 16 November 2023 - Vigilance Vanguard dari Maktab Tentera Diraja Kuala Lumpur telah berjaya memenangi tempat pertama bagi Pertandingan Akhir Inovasi Pertahanan Peringkat Kebangsaan yang disampaikankan oleh Timbalan Menteri Pertahanan, YB Adly bin Zahari bertempat di Wisma Perwira Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Bertemakan Tentera Masa Hadapan (Future Soldier), Pertandingan Akhir Inovasi Pertahanan Peringkat Kebangsaan yang dianjurkan oleh Institut Penyelidikan Sains dan Teknologi Pertahanan (STRIDE) ini merupakan sebahagian daripada aktiviti Program Membudayakan R&D Pertahanan dan bagi menerap rasa minat generasi muda terhadap bidang sains dan teknologi pertahanan serta melahirkan tenaga penyelidik pakar pada masa hadapan.
Dengan menyasarkan pelajar Sekolah Menengah Kerajaan di seluruh negara, ia menggalakkan kreativiti serta mencungkil bakat pelajar-pelajar sekolah dalam mengaplikasikan kemahiran berfikir aras tinggi (KBAT) di samping memberi galakan dan sokongan kepada pelajar untuk melibatkan diri dalam program-program reka cipta dan inovasi bagi menyokong pelaksanaan dasar STEM (Science, Technology, Engineering and Mathematics) yang giat dilaksanakan di sekolah-sekolah.
Bagi Tempat Pertama yang telah dimenangi oleh Vigilance Vanguard dari Maktab Tentera Diraja Kuala Lumpur, mereka telah menerima hadiah sebanyak RM5,000, tiket penerbangan tajaan Air Asia serta 5 unit komputer riba tajaan YB Adly Zahari.
Manakala Tempat Kedua dimenangi oleh Kumpulan DUTASS DELTA dari SMK Durian Tunggal, Melaka dan menerima hadiah sebanyak RM3,000. Bagi Tempat Ketiga pula telah dimenangi oleh Kumpulan H²ARD dari SMK Kampung Nangka dan menerima hadiah sebanyak RM2,000.
Bagi kategori Projek Harapan pula, telah dimenangi oleh Kumpulan JESS74 dari SMK Jalan Empat dan Kumpulan MEPCA dari SM Sains Selangor. Selain daripada itu, Kumpulan STRIDER X UGV dari SMK Kampong Selamat pula telah dianugerahkan sebagai Persembahan Terbaik.
Pertandingan ini telah menerima 53 penyertaan dari Sekolah Menengah Kerajaan di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak dengan penglibatan seramai 280 orang pelajar dan 40 orang guru. Namun, hanya 20 tim projek sahaja telah terpilih untuk mara ke Peringkat Akhir Pertandingan. Tahniah untuk semua para pemenang!