Slide 1

BERITA TERKINI

KEMENTERIAN PERTAHANAN MALAYSIA
2023

JAKARTA, 15 November 2023 - Menteri Pertahanan, YB Dato’ Seri Utama Haji Mohamad Bin Haji Hasan kini sedang mengadakan lawatan kerja ke Indonesia bagi mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN (ASEAN Defence Ministers’ Meeting, ADMM) ke-17 dan ADMM-Plus ke-10 di Indonesia bermula 15 hingga 16 November 2023.

Mesyuarat yang berlangsung selama dua (2) hari ini dipengerusikan oleh Tuan Yang Terutama Bapak Prabowo Subianto, Menteri Pertahanan Indonesia selaku Pengerusi ADMM dan ADMM-Plus bagi tahun 2023.

Kehadiran YB Menteri Pertahanan ke ADMM ke-17 dan ADMM-Plus ke-10 ini amat penting bagi memperlihatkan kepimpinan Malaysia dan kesatuan ASEAN dalam membincangkan isu-isu pertahanan dan keselamatan peringkat serantau dan antarabangsa yang menjadi kepentingan bersama.

Ianya merupakan platform utama untuk Negara Anggota ASEAN dan Rakan Dialog ASEAN dalam meningkatkan kebolehoperasian dan kebersamaan antara angkatan tentera negara masing-masing dalam bidang-bidang yang dikenal pasti.

Pada masa yang sama, penyertaan Malaysia menandakan komitmen berterusan kepada ASEAN yang mana Malaysia merupakan salah satu negara pengasas kepada organisasi yang telah ditubuhkan pada tahun 1967.

Malaysia turut menzahirkan ucapan tahniah kepada Indonesia selaku Pengerusi ASEAN tahun 2023 atas kejayaan penganjuran Mesyuarat ADMM ke-17 dan ADMM-Plus ke10.

Turut hadir bersama Ketua Setiausaha YBhg. Datuk Seri Isham bin Ishak serta Pegawai Kanan MINDEF dan ATM.