KUALA LUMPUR, 19 Mac 2023 - Perbarisan Tahunan Putera Maktab Tentera Diraja (MTD) tahun 2022 telah disempurnakan oleh Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Dato’ Sri Hj. Affendi bin Buang TUDM bertempat di Padang Kawad MTD, Kem Perdana Sungai Besi, Kuala Lumpur.
Seramai 470 Putera MTD yang terdiri daripada 241 Putera Tingkatan Lima (5) dan 229 Putera Tingkatan Empat (4) telah terlibat dalam perbarisan ini.
Perbarisan berkenaan diketuai oleh Pegawai Rendah Kanan (PRK) Muhammad Aniq Bahjat Bin Nor Hilmi dari Kompeni Bravo yang juga Putera Terbaik Keseluruhan dan penerima Anugerah Menteri Pertahanan.
MTD merupakan sebuah institusi pendidikan peringkat menengah yang berbeza daripada sekolah-sekolah yang lain. Berdasarkan penerapan silibus akademik yang dinamik disokong dengan modul ketenteraan yang holistik, para Putera MTD didedahkan dengan persekitaran pembelajaran yang optimum dan ideal.
Berpegang dengan cogan kata ’BERKHIDMAT MEMIMPIN’ atau SERVE TO LEAD, MTD akan terus memainkan peranannya dalam melahirkan bakal pemimpin ulung di Malaysia meliputi pelbagai bidang dan sektor. Sejak penubuhannya, MTD telah ramai melahirkan Putera-Putera yang berjaya termasuk yang menyandang jawatan-jawatan penting di dalam Angkatan Tentera Malaysia, Perkhidmatan Awam, di samping melebar sayap di dunia korporat.
Bagi penerima Anugerah Menteri Pertahanan ataupun Putera Terbaik Keseluruhan telah diterima oleh Pegawai Rendah Kanan (PRK) Muhammad Aniq Bahjat Bin Nor Hilmi dari Kompeni Bravo. Manakala bagi Anugerah Komandan atau Putera Terbaik Dalam Bidang Ketenteraan pula telah diterima oleh Pegawai Rendah Kanan (PRK) Nasrul Nazwan Bin Norazman dari Kompeni Golf.
Bagi Anugerah Pengarah Pengajian ataupun Putera Cemerlang Dalam Bidang Akademik, ia terima diberikan kepada Pegawai Rendah Muda (PRM) Muhammad Ammar bin Mohd Zahari dari Kompeni Foxtrot. Bagi Anugerah Lembaga Tadbir - Putera Terbaik Dalam Bidang Sukan pula telah diterima oleh Putera Sarjan (PSJN) Azim Muzaffar bin Mohd Danir. Manakala bagi Anugerah Piala Kompeni Komandan pula telah diterima oleh Kompeni Hotel.