KUALA LUMPUR, 14 Mac 2023 - Bagi menghargai sumbangan dan penghargaan kepada warganya, Kementerian Pertahanan dan ATM telah menganugerahkan APC dan Pingat Perkhidmatan dan Pekerti Terbilang (PPT) Tahun 2022 kepada 874 warga awam, 9,198 warga ATM dari ketiga-tiga cabang perkhidmatan dan 133 orang pesara menjadikan jumlah keseluruhan adalah seramai 10,205 orang.
Menteri Pertahanan, YB Dato’ Seri Utama Mohamad bin Haji Hasan telah menyempurnakan Penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) dan Jasamu Dikenang Kementerian Pertahanan Tahun 2023.
Pada majlis ini, Menteri Pertahanan telah menyempurnakan penyampaian anugerah dan pingat kepada 391 orang penerima APC dan Pingat PPT yang terdiri daripada penjawat awam di Wisma Pertahanan dan Unit-Unit Tentera, warga ATM serta Pesara Awam terpilih. Bagi baki selebihnya, majlis penganugerahan akan diselaraskan oleh Negeri / Markas masing-masing.
YB Dato’ Seri Utama Mohamad dalam ucapannya menyeru agar warga kerja pertahanan untuk terus kekal cemerlang dengan sikap yang tulus, positif dan ikhlas disamping menjadi contoh kepada rakan-rakan sekerja untuk lebih berusaha pada masa akan datang.
“Kepada pesara, kita bersara daripada jawatan tetapi jangan bersara dalam menabur jasa dan bakti kepada bangsa dan negara”, tambah beliau semasa merasmikan Majlis yang bertemakan Apresiasi Melestari Khidmat Bakti dan Kecemerlangan Kementerian Pertahanan.
Penerima APC akan diberikan Sijil Perkhidmatan Cemerlang dan hadiah prestasi wang tunai yang bernilai RM 1,000.00 manakala bagi Pesara awam yang bersara wajib akan menerima Pingat PPT, Sijil Penghargaan serta hadiah wang tunai berjumlah RM 600.00 manakala Pesara Awam yang bersara pilihan akan menerima Sijil Penghargaan dan hadiah wang tunai bernilai RM 600.00.
Penganugerahan dan pengiktirafan ini diberikan sebagai tanda penghargaan kepada setiap warga kerja pertahanan di mana mereka bukan hanya bertindak sebagai petugas barisan hadapan negara malah turut memainkan peranan sebagai unsur teras dalam tonggak kedua strategi pertahanan negara iaitu Pertahanan Komprehensif seperti yang digariskan dalam Kertas Putih Pertahanan.
Hadir sama, Timbalan Menteri Pertahanan, YB Adly Zahari; Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, YBhg. Dato’ Sri Muez bin Abd Aziz; Panglima Angkatan Tentera, YBhg. Jeneral Tan Sri Dato’ Sri Hj. Affendi bin Buang TUDM; Panglima-Panglima Perkhidmatan serta Pihak Pengurusan Tertinggi Kementerian dan ATM.