SANDAKAN, 26 Februari 2023 – Malaysia Maritime Command Centre (MCC) Tawau di bawah kawalan operasi Markas Angkatan Tugas Bersama 2 (ATB 2) telah menerima maklumat berkaitan sebuah bot penumpang ML RIHANA dari negara Filipina yang mengalami kerosakan enjin dan hanyut di perairan Tagupi, Lahad Datu pada 24 Februari yang lepas.
Susulan daripada itu, MCC Tawau telah mengkoordinasi aset KD TODAK melalui PUSAT OPERASI MARKAS WILAYAH LAUT 2 dan Joint Regional Command Centre (JRCC) untuk memantau ML RIHANA dan memberikan bantuan kemanusian yang sewajarnya.
KD TODAK yang sedang melaksanakan penugasan OPERASI DAULAT BENUA/TRILATRIAL MARITIME PETROL dan OPERASI PASIR SELATAN di perairan Sabah Timur telah tiba di lokasi kapal ML RIHANA pada jam 11.30 malam dan melakukan pemantauan ke atas kapal tersebut.
Dengan keadaan laut yang bergelora dan kelajuan angin yang kuat telah menyebabkan KD TODAK hanya dapat memberikan bantuan bekalan air minuman dan hanya dapat memantau ML RIHANA sehingga bantuan dari negara Filipina tiba pada awal pagi 26 Februari 2023.
Pada pagi 25 Februari 2023, KD TODAK telah berjaya menunda kapal ML RIHANA ke sekitar perairan Tg Labian untuk bersauh dan berlindung dari cuaca buruk pada jam 11.40 pagi sementara menunggu bantuan daripada negara Filipina.
KD TODAK turut memberikan bantuan makanan kepada penumpang dan krew ML RIHANA kerana mereka telah mengalami kekurangan bekalan makanan.
Sumber : Markas Angkatan Bersama