NEGERI SEMBILAN, 17 Januari 2023 - Sempena Hari Ulang Tahun Markas Pemerintahan Latihan dan Doktrin Tentera Darat (MK PLDTD) Ke-29, satu Program Corporate Social Responsibility telah diadakan pada 13 Jan 2023 yang lepas di sekitar pantai Port Dickson iaitu Pantai Saujana, Pantai Cahaya Negeri, Pantai Bayu, Pantai Teluk Kemang, Pantai Purnama, Pantai TNB, Pantai Tanjung Biru dan Pantai Tanjung Lebah.
Program ini diadakan dengan bertujuan untuk meningkatkan hubungan dan kerjasama tentera dengan orang awam, menerapkan kesedaran tentang kepentingan menjaga alam sekitar untuk mengekalkan ekosistem dan habitat yang sihat serta menanamkan rasa tanggungjawab dalam kalangan komuniti dalam menjaga alam sekitar yang dikongsi bersama.
Selain daripada pegawai dan anggota MK PLDTD yang terlibat, program ini turut disertai oleh Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Politeknik Port Dickson dan Majlis Perbandaran Port Dickson.
Program ini telah dirasmikan oleh Panglima Latihan Tentera Darat, Mej Jen Dato’ Tengku Muhammad Fauzi Tengku Ibrahim di Pantai Teluk Kemang.
Sumber : Markas Pemerintahan Latihan dan Doktrin Tentera Darat