Slide 1

BERITA TERKINI

KEMENTERIAN PERTAHANAN MALAYSIA
2022

KEMBOJA, 23 November 2022 - Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, YBhg. Dato’ Sri Muez bin Abd Aziz telah mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Retreat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN (ADMM) dan Mesyuarat ADMM-Plus ke-9 yang berlangsung selama 2 hari bermula pada 22 November di Siem Reap.

Mesyuarat ADMM-Plus ke-9 telah membincangkan mengenai kerjasama pertahanan ASEAN dan rakan dialog Plus. Mesyuarat diakhiri dengan Deklarasi Bersama Menteri-Menteri Pertahanan ADMM-Plus mengenai Kerjasama Pertahanan bagi memperkukuhkan solidariti untuk Keselamatan Sejagat.

Pada masa yang sama,semua negara telah bersetuju agar ADMM-Plus terus menjadi platform utama bagi kerjasama pertahanan multilateral di rantau ini, dengan ASEAN sebagai peneraju utama.

Selain itu, turut diadakan Mesyuarat Tidak Rasmi Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN dengan rakan dialog Plus iaitu Amerika Syarikat dan India pada 22 November 2022 bagi membincangkan kerjasama pertahanan ASEAN dengan kedua-dua negara serta bertukar-tukar pandangan mengenai isu-isu pertahanan dan keselamatan yang menjadi perhatian bersama.

Penyertaan Malaysia dalam mesyuarat-mesyuarat ini menandakan komitmen berterusan Malaysia terhadap diplomasi pertahanan melalui kerjasama pertahanan dua hala dan pelbagai hala.