Slide 1

BERITA TERKINI

KEMENTERIAN PERTAHANAN MALAYSIA
2022

KUANTAN, 26 September 2022 - Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Dato' Sri Hj Affendi bin Buang TUDM telah menyempurnakan Sambutan Hari Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ke-89 tahun 2022 bertemakan ‘Kedaulatan Negara Tanggungjawab Bersama’ di Pangkalan Udara Kuantan hari ini.

Sambutan pada tahun ini berkonsep terbuka berbanding tahun sebelumnya dimana tema sambutan dikekalkan kerana ia dilihat relevan seperti penegasan yang diberikan oleh para pemimpin negara bahawa kedaulatan Malaysia merupakan tanggungjawab bersama semua rakyat untuk mempertahankannya. Bagi menjaganya, ia tidak hanya digalas di bahu pasukan keselamatan semata-mata tetapi semua rakyat perlu bergandingan bagi memastikan kedaulatan dapat dikekalkan.

Secara keseluruhan, seramai 1,887 orang pegawai dan anggota ATM terlibat dalam menjayakan sambutan Hari ATM yang berkonsepkan statik dari gabungan ketiga-tiga perkhidmatan ATM iaitu Tentera Darat, Laut dan Udara. Bagi Perbarisan Tempur melibatkan 796 pegawai dan anggota manakala segmen demonstrasi pula melibatkan seramai 673 pegawai dan anggota.

Perbarisan pada tahun ini juga turut menyaksikan Penganugerahan Pingat Kedaulatan Negara yang diberikan kepada warga ATM bagi menghargai jasa dan peranan mereka dalam OPERASI DAULAT ketika membanteras penceroboh bersenjata di Sabah yang menggelarkan diri mereka sebagai Tentera Sultan Sulu.

Di samping itu, penyampaian Anugerah Kesiagaan Panglima Angkatan Tentera turut diberikan kepada pasukan terbaik dalam TDM, TLDM dan TUDM di samping Penyampaian Sijil Kepujian Panglima Angkatan Tentera (PAT) kepada kakitangan awam yang berkhidmat di bawah ATM dan Anugerah Inovasi ATM.