Slide 1

BERITA TERKINI

KEMENTERIAN PERTAHANAN MALAYSIA
2022

SELANGOR, 27 September 2022- Kerjasama teknologi strategik telah dibincangkan di dalam Regional Seminar Sains Pertahanan, Teknologi dan Inovasi 2022 yang dianjurkan oleh Institut Penyelidikan Sains & Teknologi Pertahanan (STRIDE) sebentar tadi. Seminar yang berlangsung selama 2 hari bermula 27-28 September 2022 telah dirasmikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, YBhg. Dato’ Sri Muez Abd. Aziz.

Tujuan utama seminar ini diadakan adalah untuk mengenal pasti isu dan strategi utama kerjasama teknologi bagi memperkukuhkan industri pertahanan serantau, serta menyebarkan pengetahuan, dan berkongsi kepakaran dan pengalaman dalam semua aspek sains, teknologi & inovasi pertahanan.

Seminar ini dihadiri oleh 400 peserta (fizikal dan dalam talian), yang terdiri daripada penyelidik dan ahli akademik; penggubal dasar; anggota agensi pertahanan dan keselamatan kerajaan, termasuk Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM); pemain industri pertahanan dan keselamatan; serta peserta dari Persatuan NegaraNegara Asia Tenggara (ASEAN).