Slide 1

BERITA TERKINI

KEMENTERIAN PERTAHANAN MALAYSIA
2022

KUALA LUMPUR, 27 September 2022 – Kementerian Pertahanan akan terus menghargai dan menyokong penuh usaha yang dilaksanakan oleh warga perubatan ATM dalam meningkatkan tahap perkhidmatan serta kemudahan kesihatan ATM di seluruh negara.

Menteri Kanan Pertahanan, YB Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussein bersama Menteri Kesihatan, YB Khairy Jamaluddin telah mengadakan lawatan ke Hospital Angkatan Tentera (HAT) Tuanku Mizan bagi mendapatkan perkembangan terkini serta maklum balas tentang ruang penambahbaikan sekaligus bertemu pakar-pakar perubatan di HAT.

Dengan itu, ianya membawa kepada beberapa perancangan dalam meningkatkan tahap perkhidmatan serta kemudahan kesihatan ATM iaitu kesemua lima Hospital Angkatan Tentera (HAT), 19 Rumah Sakit Angkatan Tentera (RSAT), 48 Pusat Perubatan Angkatan Tentera (PPAT), dan 40 Pusat Pergigian Angkatan Tentera (PGAT) akan melalui proses selenggaraan dan penambahbaikan.

Selain itu, ATM akan melaksanakan pembelian 2 unit Hospital Medan tambahan sebagai persediaan ATM mengaturgerak lebih banyak Hospital Medan sekiranya diperlukan KKM dan pelaksanaan perolehan 50 unit Ambulans Medan dengan kos RM27 juta. Kementerian Pertahanan juga akan mempercepatkan proses tender pembinaan baru HAT Kem Terendak dengan kos RM325 juta.

Menerusi sidang media yang turut diadakan, YB Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussein telah menzahirkan penghargaan kepada Amerika Syarikat kerana menerusi hubungan erat Malaysia-Amerika Syarikat, Medical Command, USINDOPACOM telah memuktamadkan kerjasama dengan ATM di dalam bidang kesihatan bagi tempoh lima tahun, bertujuan membangunkan kapasiti Perkhidmatan Kesihatan ATM.

Penghargaan turut di nyatakan kepada Emiriah Arab Bersatu (UAE), Australia dan Arab Saudi atas sokongan penuh serta penglibatan mereka dalam bersama-sama menjayakan pembangunan Military Medicine Centre of Excellence.