Slide 1

BERITA TERKINI

KEMENTERIAN PERTAHANAN MALAYSIA
2022

KUALA LUMPUR, 23 September 2022 - KDYMM Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan bercemar duli ke Majlis Bacaan Yasin,Tahlil Serta Khutbah Khas Solat Jumaat sempena Hari Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Ke-89 yang diadakan di Masjid Khalid Bin Al-Walid, Kementerian Pertahanan.

Keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda telah disambut oleh Menteri Kanan Pertahanan, YB Dato' Seri Hishammuddin Tun Hussein; Timbalan Menteri Pertahanan, YB Dato'Sri Ikmal Hisham bin Abdul Aziz dan Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Dato' Sri Affendi bin Buang.

Majlis telah dimulakan dengan bacaan yasin serta tahlil yang dipimpin oleh Timbalan Ketua Pengarah Dasar dan Pengurusan Kor Agama Angkatan Tentera (KAGAT), Brigedier Jeneral Mohamad Hamzah Bin Adam dan diteruskan dengan penyampaian Khutbah Khas Solat Jumaat bertajuk ‘Kedaulatan Negara Tanggungjawab Bersama’ yang disampaikan oleh Ketua Pengarah KAGAT, Mejar Jeneral Hj Mohd Rashidi bin Bujai sebelum diakhiri dengan Solat Jumaat yang diimamkan oleh Brigedier Jeneral Mohamad Hamzah Bin Adam.

Antara intipati teks khutbah yang diampaikan ialah perlunya setiap rakyat Malaysia memahami bahawa tanggungjawab mempertahankan kedaulatan negara bukan hanya terletak dibahu warga ATM sahaja, malah ia merupakan tanggungjawab bersama di samping menghargai keamanan, kesejahteraan dan kedamaian yang bukan mudah diperolehi serta didirikan di atas pengorbanan para pejuang terdahulu yang sanggup berjuang demi negara tercinta.

Turut serta Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Dato' Sri Muez bin Abd Aziz; Panglima-panglima Perkhidmatan serta pegawai-pegawai kanan awam dan tentera Kementerian Pertahanan.