Slide 1

BERITA TERKINI

KEMENTERIAN PERTAHANAN MALAYSIA
2022

KUALA LUMPUR, 22 September 2022 - KDYMM Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan KDYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan berangkat ke Majlis Santapan Beradat Sempena Hari Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Ke-89 di Wisma Perwira ATM, Kuala Kumpur.

Keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda telah disambut oleh Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Dato' Sri Affendi bin Buang dan isteri Yang Amat Mulia Tengku Puteri Seri Teja Puan Sri Dato' Tengku Muhaini Binti Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah serta Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Dato' Sri Muez bin Abd Aziz dan isteri Datin Sri Rafidah binti Latif.

Majlis ini dihadiri seramai 373 pegawai daripada ketiga-tiga cabang Perkhidmatan ATM dan isteri. Majlis tersebut merupakan majlis rejimental yang dilaksanakan setiap tahun bertujuan untuk memuliakan Seri Paduka Baginda selaku Pemerintah Tertinggi ATM dan bersempena sambutan Hari ATM yang jatuh pada 16 September setiap tahun.

Pada majlis tersebut juga, lima Panji-Panji Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong iaitu Panji-panji Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD), Rejimen Renjer Diraja (RRD), Kor Armor Diraja (KAD), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) telah diarak masuk ke dewan santapan.

Seri Paduka Baginda juga turut berkenan menyempurnakan upacara memotong kek dan pulut kuning sempena Sambutan Hari ATM Ke-89 tahun ini.

Turut hadir, Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Dato’ Seri Zamrose Mohd Zain; Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Mohd Reza Bin Mohd Sany dan Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Dato’ Sri Mohd Asghar Khan Bin Goriman Khan.