Slide 1

BERITA TERKINI

KEMENTERIAN PERTAHANAN MALAYSIA
2022

ARAB SAUDI, 21 September 2022 - Menteri Kanan Pertahanan, YB Dato' Seri Hishammuddin Tun Hussein meneruskan Lawatan Kerja Rasmi ke Emiriah Arab Bersatu (UAE) dengan memberi tumpuan khusus terhadap usahasama Malaysia-UAE dalam memperkasa industri pertahanan.

Demi kesungguhan Malaysia-UAE dalam usahasama ini, Menteri Kanan Pertahanan bersama delegasi Malaysia telah dibawa melawat ke EDGE Group, konglomerasi 25 syarikat milik Kerajaan UAE yang menyediakan persenjataan tentera dan teknologi berkaitan.

Beliau turut diberi peluang untuk meninjau Tawazun Industrial Park, Zayed Military City yang merupakan lokasi khusus untuk syarikat-syarikat tempatan dan antarabangsa membangunkan produk. Ianya selari dengan perancangan Dasar Industri Pertahanan dan Keselamatan Negara (DIPKN) sebagai inisiatif susulan kepada Kertas Putih Pertahanan (KPP) yang sedang giat dirangka. Seterusnya,usaha ini dapat mengembangkan keupayaan serta menyediakan pangkalan pembuatan produk dan industri pertahanan.

Lawatan kerja ini diteruskan dengan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) di antara Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dengan EDGE Group yang ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif LTAT, Dato’ Ahmad Nazim Abd Rahman serta Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif EDGE Group, Mansour Mohamed Al Mulla.

MoU ini antara lain merangkumi penerokaan peluang kerjasama antara LTAT dan EDGE Group dalam usaha menyokong pelbagai bentuk keupayaan dan penyelesaian pertahanan. Selain itu, kerjasama kedua pihak dalam mengenal pasti potensi pelaburan bersama dalam bidang industri strategik dan pertahanan di Malaysia.