Slide 1

BERITA TERKINI

KEMENTERIAN PERTAHANAN MALAYSIA
2022

ARAB SAUDI, 20 September 2022 - Menteri Kanan Pertahanan, YB Dato' Seri Hishammuddin Tun Hussein sedang mengadakan Lawatan Kerja Rasmi ke Emiriah Arab Bersatu (UAE) bagi bertemu beberapa pemimpin tertinggi Kerajaan UAE.

Ketibaan delegasi telah disambut dengan penuh istiadat dengan Kawalan Kehormat oleh Angkatan Tentera UAE.

Lawatan rasmi ini dimulakan dengan pertemuan bersama Yang Mulia Sheikh Mohamed bin Zayed Al Nahyan, Presiden UAE merangkap Pemerintah Abu Dhabi serta Panglima Tertinggi Angkatan Tentera UAE di Istana Qasr Al Shati' bagi memperhalusi prospek ke arah mengukuhkan lagi hubungan dua hala Malaysia-UAE khususnya dalam konteks pertahanan serta bertukar pandangan mengenai beberapa isu kepentingan serantau serta antarabangsa.

Dalam pada itu, beliau turut mengadakan pertemuan serta mengadakan mesyuarat dua hala bersama TYT Mohammed Ahmed Al Bowardi, Menteri Negara bagi Hal Ehwal Pertahanan. Pertemuan ini telah membawa kepada kesepakatan penting antaranya mengadakan latihan dua hala bersama antara ATM dan Angkatan Tentera UAE, meningkatkan pertukaran dan latihan pegawai ketenteraan, meningkatkan penglibatan antara ketenteraan (military to military) serta mengeratkan kerjasama berkaitan industri pertahanan.

Hadir bersama mengiringi lawatan kerja ini Ketua Setiausaha, Dato’ Sri Muez Bin Abd Aziz, Panglima Angkatan Tentera Malaysia, Jeneral Tan Sri Dato’ Sri Hj Affendi Bin Buang TUDM, Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Dato’ Seri Zamrose Bin Mohd Zain serta kepimpinan tertinggi Kementerian Pertahanan dan ATM.