Slide 1

BERITA TERKINI

KEMENTERIAN PERTAHANAN MALAYSIA
2022

KUALA LUMPUR, 6 September 2022 – Seramai 498 penerima telah menerima Penganugerahan Darjah Kepahlawanan Angkatan Tentera (DKAT) yang berlangsung di Wisma Perwira KEMENTAH sebentar tadi.

Menteri Kanan Pertahanan, YB Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussein telah menyempurnakan penganugerahan ini melalui perkenan KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.

Secara keseluruhannya, seramai 991 penerima akan menerima Penganugerahan Darjah Kepahlawanan Angkatan Tentera (DKAT) yang dilaksanakan dalam dua sesi iaitu sesi pertama pada hari ini dan sesi kedua pada 8 September 2022.

Istiadat Penganugerahan DKAT kali ini menyaksikan empat (4) pangkat Darjah Kebesaran telah dikurniakan iaitu Panglima Setia Angkatan Tentera (PSAT), Pahlawan Angkatan Tentera (PAT), Kesatria Angkatan Tentera (KAT), serta Bentara Angkatan Tentera (BAT).

Penganugerahan Pingat DKAT ini dikurniakan kepada pegawai dan anggota lain-lain pangkat berkelayakan berdasarkan sifat kepahlawanan yang teristimewa dalam menjalankan kewajiban yang ditunjukkan oleh anggota-anggota ATM.

Turut hadir ke istiadat adalah Timbalan Menteri Pertahanan, YB Dato’ Sri Ikmal Hisham bin Abdul Aziz; Panglima Angkatan Tentera, YBhg. Jeneral Tan Sri Dato’ Sri Hj. Affendi bin Buang TUDM; Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, YBhg. Dato’ Sri Muez bin Abd Aziz; serta Panglima-Panglima Perkhidmatan.