Slide 1

BERITA TERKINI

KEMENTERIAN PERTAHANAN MALAYSIA
2022

KUALA LUMPUR, 24 Ogos 2022 – Mesyuarat Penyelarasan dan Hala Tuju Dasar Industri Pertahanan dan Keselamatan Negara (DIPKN) yang dipengerusikan secara bersama oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan YBhg. Dato’ Sri Muez Abd Aziz dan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, YBhg. Dato' Sri Wan Ahmad Dahlan Haji Abdul Aziz di Bilik Mesyuarat Bunga Raya Wisma Pertahanan.

Mesyuarat dimaklumkan mengenai DIPKN yang telah disusun mengikut kluster agar lebih fokus dan tersusun dengan mengetengahkan elemen Game Changer yang akan menyokong teras-teras DIPKN dalam merencanakan ekosistem industri pertahanan negara agar sejajar dengan kehendak dan aspirasi Kertas Putih Pertahanan sehingga tahun 2030.

Salah satu inisiatif yang diketengahkan dalam DIPKN adalah cadangan membangunkan ‘Special Economy Zone’ untuk pertahanan dan keselamatan seperti Defence Cities bagi menarik pelabur-pelabur asing melalui faedah serta insentif tertentu; serta dalam masa yang sama mewujudkan pemusatan kepada pelabur-pelabur tempatan. Negeri yang dikenalpasti antaranya adalah di Pahang, Selangor dan Perak.

DIPKN juga mengetengahkan elemen Game Changer iaitu meyakinkan Kerajaan dan agensi pusat agar dapat memperuntukkan 1.5% daripada KDNK secara konsisten untuk sektor pertahanan dan keselamatan. Hal ini disebabkan pembiayaan pertahanan yang stabil adalah sangat penting dalam usaha meningkatkan kesiapsiagaan ATM serta membantu perancangan pelaburan yang berterusan dan mampan untuk pembangunan keupayaan ATM dan industri pertahanan dalam tempoh jangka panjang.

MINDEF dan KDN bersetuju untuk bekerjasama membangunkan DIPKN dan melancarkan DIPKN pada penghujung Oktober 2022.