Slide 1

BERITA TERKINI

KEMENTERIAN PERTAHANAN MALAYSIA
2022

KUALA LUMPUR, 17 Ogos 2022 - Menteri Kanan Pertahanan, YB Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussein pada hari ini telah menyempurnakan Pelancaran Kibar Jalur Gemilang Sempena Sambutan Bulan Kebangsaan Peringkat Kementerian Pertahanan Tahun 2022 dan Jubli Emas LTAT ke-50 di Auditorium Wisma Pertahanan.

Menteri Kanan Pertahanan telah menyampaikan Amanat Menteri Kanan Pertahanan bagi enam bulan pertama pemerintah beliau bagi tahun 2022. Beliau juga turut melancarkan Majlis Kibar Jalur Gemilang di Dataran Wisma Pertahanan dengan penyerahan simbolik penyerahan Jalur Gemilang kepada Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, YBhg. Dato’ Sri Muez bin Abd Aziz mewakili warga Kementerian Pertahanan (MinDef) dan Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Dato’ Sri Hj. Affendi bin Buang TUDM mewakili warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

YB Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussein turut mengumumkan penawaran Pengeluaran Khas maksimum sehingga RM500.00 secara ‘one-off’ kepada para pencarum LTAT. Pengeluaran ini juga adalah sebagai insentif bagi membantu menangani sedikit sebanyak beban kewangan para pencarum LTAT. Permohonan pengeluaran Khas Jubli Emas ini boleh dibuat melalui Aplikasi MyWira mulai 10 Oktober dan akan ditutup pada 10 Disember 2022. Pembayaran pertama pula akan dilaksanakan bermula pada 19 hingga 23 Disember 2022.

Beliau turut mengucapkan tahniah kepada pengurusan LTAT kerana telah berjaya mendapatkan kelulusan pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Tabung Angkatan Tentera (Pindaan) 2022 di (Dewan Rakyat) baru-baru ini yang membolehkan penambahbaikan dibuat terhadap empat (4) aspek penting kepada anggota tentera dan juga LTAT iaitu melindungi hampir 120,000 pencarum.

Dalam majlis yang sama, Menteri Kanan Pertahanan turut melancarkan kenderaan Bank Bergerak AFFIN atau Affin Mobile Financial Centre yang telah mula beroperasi pada 1 Ogos 2022. Bank Bergerak ini menyediakan perkhidmatan kepada pelanggan seperti pembukaan akaun Bank, permohonan pinjaman, permohonan kad kredit dan juga transaksi melalui Mesin Teler Automatik dan Mesin Deposit Tunai.

Turut hadir, Panglima-Panglima Perkhidmatan, Pihak Pengurusan Tertinggi Kementerian dan ATM serta Pengerusi LTAT, YM. Jen Tan Sri Raja Mohamed Affandi bin Raja Mohamed Noor (Bersara), Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) LTAT, YBhg. Dato’ Ahmad Nazim Abd Rahman serta Ahli Lembaga dan barisan kepimpinan LTAT, syarikat-syarikat kumpulan di bawah naungan LTAT dan Agensi Kementerian Pertahanan.