Slide 1

BERITA TERKINI

KEMENTERIAN PERTAHANAN MALAYSIA
2022

KUALA LUMPUR, 9 Ogos 2022 – Menteri Kanan Pertahanan, Dato' Seri Hishammuddin Tun Hussein bersama Menteri Pertahanan Republik Indonesia, Tuan Yang Terutama (TYT) Prabowo Subianto telah meraikan Majlis Makan Malam Rasmi Sambutan 50 Tahun GBC Malindo.

Ianya diadakan bagi meraikan Delegasi Pertahanan Malaysia dan Indonesia yang bersidang di Mesyuarat Ke-42 General Border Commitee Malaysia-Indonesia (GBC MALINDO) di Wisma Perwira Angkatan Tentera Malaysia sekaligus merasmikan sambutan 50 tahun GBC Malindo.

Acara telah dimeriahkan dengan persembahan tradisional Malaysia dari Band Kesenian Tentera Udara, Angkatan Tentera Malaysia serta pelbagai tayangan video bertujuan untuk memperingati titik permulaan hubungan kedua-dua negara, penubuhan GBC MALINDO pada tahun 1972 serta pencapaiannya selama 50 tahun melalui pelaksanaan pelbagai aktiviti operasi dan non-operasi meliputi rondaan bersama, latihan dan inisiatif sosio-ekonomi di perbatasan Malaysia dan Indonesia. Sambutan diakhiri dengan penyerahan memorabilia kepada Menteri Kanan Pertahanan Malaysia dan Menteri Pertahanan Republik Indonesia sebagai simbolik kerjasama 50 tahun yang amat bermakna buat kedua-dua negara.

Majlis ini turut dihadiri Timbalan Menteri Pertahanan, YB Dato’ Sri Ikmal Hisham Abdul Aziz; Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, YBhg. Dato’ Sri Muez Abd Aziz; Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Dato’ Sri Haji Affendi Buang TUDM; Panglima-Panglima Perkhidmatan; pegawai-pegawai Kanan Kementerian Pertahanan; Kementerian Dalam Negeri (KDN); Majlis Keselamatan Negara (MKN) serta delegasi Malaysia dan Indonesia.