Slide 1

BERITA TERKINI

KEMENTERIAN PERTAHANAN MALAYSIA
2022

PUTRAJAYA, 31 Julai 2022 - KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah telah berkenan bercemar duli ke Istiadat Perbarisan Hari Pahlawan Tahun 2022 bertempat di Dataran Pahlawan Negara, Putrajaya hari ini.

Turut berangkat sama adalah KDYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah binti Almarhum Al- Mutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj.

Istiadat perbarisan melibatkan 6 detasmen terdiri daripada Tentera Darat Malaysia (TDM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) termasuk Kontinjen dari Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) serta Kontinjen Pesara Polis dan Bekas Polis Malaysia (PBPM).

Antara pengisian acara hari ini adalah deklamasi sajak berjudul ‘Pahlawanku’ yang disampaikan oleh Koperal Udara Mohamad Ramdan Akmal Md Jamal dari ATM serta Sarjan Roseshini Binti Kasim dari PDRM.

Kemuncak acara adalah persembahan pantomim dalam mengenang pengorbanan pejuang tentang peristiwa pertempuran yang telah berlaku di Bakara Market, Mogadishu, Somalia pada 3 dan 4 Oktober 1993.

Turut hadir dalam Istiadat ini adalah Perdana Menteri, Yab Dato' Sri Ismail Sabri Yaakob serta isteri, Menteri Kanan Pertahanan, YB Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussein serta isteri, Menteri Dalam Negeri, YB Dato' Seri Hamzah Zainudin dan isteri, Ketua Setiausaha, YBhg. Dato’ Sri Muez Abd Aziz serta isteri, Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Dato’ Sri Hj. Affendi Buang TUDM dan isteri serta Panglima-Panglima Perkhidmatan.