Slide 1

BERITA TERKINI

KEMENTERIAN PERTAHANAN MALAYSIA
2022

PAHANG, 26 Julai 2022 - Kebawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah pada hari ini telah berkenan bercemar duli ke Majlis Penamaan Kem Al-Sultan Abdullah, Markas Angkatan Bersama (MK AB) di Jalan Panching, Kuantan.

Baginda telah menerima Tabik Hormat Diraja dan memeriksa Kawalan Kehormatan Utama dari Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja (1 RAMD) kemudian dipersembahkan dengan gimik acara pelancaran melibatkan gabungan aset dan aksi penerjunan anggota khas dari ATM melibatkan pasukan yang dari Bahagian Operasi Pasukan Khas Pertahanan, 1 Kor Armor Diraja, 12 Rejimen Askar Melayu Diraja (Mekanize), 4 Skuadron Semboyan Briged dan No 10 Skuadron Tentera Udara Diraja Malaysia.

Seri Paduka Baginda turut berkenan menandatangani plat penamaan kompleks Markas Angkatan Bersama sebagai Kem Al-Sultan Abdullah. Seterusnya, Baginda dipersembahkan dengan taklimat mengenai peranan dan fungsi MK AB serta berkesempatan berinteraksi secara sidang video dengan pegawai dan anggota ATM yang sedang melaksanakan tugas operasi PASIR di Sabah serta yang bertugas di misi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Turut hadir DYMM Pemangku Sultan Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, Menteri Besar Pahang Dato’ Sri Hj. Wan Rosdy Wan Ismail, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Dato' Sri Muez Abd Aziz, Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Dato’ Sri Hj. Affendi Buang TUDM serta panglima perkhidmatan.