Slide 1

BERITA TERKINI

KEMENTERIAN PERTAHANAN MALAYSIA
2022

PUTRAJAYA, 19 Julai 2022 - Menteri Kanan Pertahanan, YB Dato' Seri Hishammuddin Tun Hussein telah menghadiri Majlis Perasmian Pembukaan Persidangan Keselamatan Negara 2022 dan Sambutan Bulan Keselamatan Negara 2022 bertempat di Hotel Marriot hari ini.

Majlis ini telah dirasmikan oleh YAB Perdana Menteri Malaysia, Dato' Sri Ismail Sabri bin Yaakob. Dalam ucapan beliau berkata, tanggungjawab memastikan Malaysia kekal berdaulat, aman dan sejahtera bukan terletak di bahu pasukan keselamatan dan jentera kerajaan semata-mata tetapi turut menjadi tanggungjawab bersama seluruh Keluarga Malaysia.

Konsep Keluarga Malaysia yang dicetuskan oleh Perdana Menteri sejak Ogos 2021 membawa semangat yang amat relevan dan mempunyai sinergi dengan falsafah keselamatan negara. Perdana Menteri turut berkata langkah penjimatan perbelanjaan yang diambil kerajaan tidak akan menjejaskan aspek keselamatan negara. Beliau turut menegaskan aspek keselamatan akan tetap menjadi keutamaan negara dan projek seperti pembinaan kem atau berkaitan kawalan sempadan tidak akan terjejas.

Menurut Perdana Menteri, MKN telah memperkenalkan Doktrin KESELAMATAN MENYELURUH atau COMPREHENSIVE SECURITY (COMSEC) bagi membolehkan tanggungjawab memelihara keselamatan negara dipikul seluruh jentera kerajaan dan segenap lapisan masyarakat secara proaktif. Ujarnya doktrin COMSEC yang diperkenalkan ini adalah untuk membolehkan Malaysia mendepani cabaran pengurusan keselamatan negara pada masa kini dan akan datang.

Turut hadir Panglima-Panglima Perkhidmatan serta pegawai-pegawai kanan awam dan tentera Kementerian Pertahanan.

 

Sumber Gambar : Tentera Darat Malaysia