Slide 1

BERITA TERKINI

KEMENTERIAN PERTAHANAN MALAYSIA
2022

SABAH, 1 Julai 2022 - Usaha Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dalam mempertahankan keselamatan Sabah terus diperkukuhkan menerusi perolehan pembelian sebanyak tiga (3) buah Helikopter AW139. Ianya merupakan aset terbaru TLDM yang dibeli khusus bagi meningkatkan keupayaan operasi TLDM terutama dalam memelihara keselamatan dan kedaulatan negeri Sabah.

Menteri Kanan Pertahanan, YB Dato’ Seri Hishammuddin Hussein hari ini telah menyaksikan penyerahan dua (2) buah Helikopter AW139 manakala sebuah lagi dijangka sampai pada bulan September.

Pada masa yang sama, Menteri Kanan Pertahanan turut merasmikan penubuhan sebuah skuadron baharu iaitu Skuadron 503 di Stesen Udara Kota Kinabalu.

Helikopter AW139 berfungsi sebagai pengawal ruang udara di perairan maritim Sabah dan Sarawak. Selain membolehkan rondaan bagi tujuan penguatkuasaan maritim dapat dilaksanakan sekerap mungkin bersama aset-aset sedia ada serta meningkatkan kekuatan inventori TLDM di Armada Timur.

Selaras dengan penerimaan Helikopter AW139, Skuadron 503, ditubuhkan berperanan sebagai pemantau Zon Maritim Malaysia serta Maritime Domain Awareness (MDA), Over the Horizon Targeting (OTHT), Operasi Pasukan Khas dan Latihan krew udara serta warga kapal. Beberapa misi akan digerakkan melalui skuadron ini iaitu Operasi Mencari dan Menyelamat, Medical Evacuation (Medevac), Casualties Evacuation (Casevac) dan misi Humanitarian Assistance and Disaster Relief (HADR).

Menteri Kanan Pertahanan turut menekankan dalam kenyataanya, usaha memelihara kedaulatan dan keselamatan Sabah sentiasa dilipatgandakan serta dilaksanakan secara menyeluruh. Tidak hanya terhad kepada TLDM, malahan Tentera Darat Malaysia (TDM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).