Slide 1

BERITA TERKINI

KEMENTERIAN PERTAHANAN MALAYSIA
2022

Kemboja, 22 Jun 2022 - ADMM ke-16 merupakan platform yang signifikan untuk Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN mengukuhkan lagi semangat kebersamaan ASEAN khususnya dalam konteks kerjasama pertahanan.


Menteri Kanan Pertahanan, YB Dato’ Seri Hishammuddin Hussein hari ini telah mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN (ADMM) ke-16 di Phnom Penh.

Seperti tahun-tahun sebelumnya ADMM dilihat sebagai satu platform terbaik untuk Malaysia menyuarakan pandangan serta pendirian berhubung pelbagai isu pertahanan demi kepentingan keselamatan ASEAN khasnya dan Malaysia amnya.

Di samping mesyuarat ADMM, disusuli dengan Mesyuarat Tidak Rasmi Menteri Pertahanan ASEAN-China dan Mesyuarat Tidak Rasmi Menteri Pertahanan ASEAN-Jepun bagi memfokuskan usaha mengukuhkan lagi kerjasama pertahanan serantau.

Pada masa yang sama, Menteri Kanan Pertahanan, YB Dato’ Seri Hishammuddin Hussein telah mengadakan kunjungan hormat kepada Perdana Menteri Kemboja, TYT Samdech Akka Moha Sena Padei Techo Hun Sen.

Menteri Kanan Pertahanan turut mengadakan mesyuarat bilateral bersama Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pertahanan Kemboja, TYT Samdech Pichey Sena Tea Banh, dalam meningkatkan lagi kerjasama pertahanan dengan melaksanakan operasi pengaman di seluruh dunia khususnya penglibatan tentera pengaman wanita di ASEAN.

Menerusi pertemuan dua hala tersebut, satu kesepakatan telah dicapai di mana Kemboja akan menghantar tentera pengaman wanita ke Pusat Pengaman Malaysia di Port Dickson untuk menjalani latihan seterusnya meningkatkan lagi kemahiran mereka dalam melaksanakan operasi pengaman.