Slide 1

BERITA TERKINI

KEMENTERIAN PERTAHANAN MALAYSIA
2022

SABAH, 13 Jun 2022 - Kementerian Pertahanan melalui Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) hari ini telah membantu pihak Kementerian Kerja Raya Malaysia bagi melaksanakan misi penghantaran barangan makanan dan keperluan asas ke kawasan yang terjejas untuk laluan jalan darat.

Misi ini melibatkan penghantaran barang makanan kepada pelajar-pelajar di Sekolah Kebangsaan Pengaraan, Nabawan Sabah yang diketuai oleh YB Datuk Arthur Joseph Kurup, Timbalan Menteri Kerja Raya. Misi ini turut disertai Pegawai Daerah Nabawan, En Peter Jonu Moinjil, Panglima Wilayah Udara 2, Mejar Jeneral Dato’ Hj Shamsudin bin Kassim TUDM dan AKS A1, Lt Kol Mohd Irwan bin Asmail TUDM.

Kampung Pengaraan, Nabawan terletak di bawah pentadbiran Pejabat Daerah Nabawan, Sabah, Jarak kampung ini dengan bandar terdekat iaitu Keningau adalah sejauh km.

Pada Mac 2022, kawasan Mukim Tatalaan, Nabawan telah dinaiki air dan dilanda banjir yang mengakibatkan infrastruktur dan fasiliti awam seperti jalan kampung, jambatan kereta dan jambatan gantung mengalami kerosakan. Kawasan yang terjejas adalah sebanyak tujuh (7) buah kampung dengan jumlah penduduk dianggarkan seramai 5, 000 orang serta empat (4) buah sekolah.

Kejadian bencana alam ini menyebabkan penduduk terputus hubungan jalan darat dan sukar dilalui oleh semua jenis kenderaan.Sebagai langkah jangka panjang, kerajaan telah meluluskan peruntukan untuk pembinaan jambatan dan penyelenggaraan jalan namun ianya mengambil masa untuk disiapkan memandangkan jarak serta kawasan yang terpencil dan sukar dilalui.

Berikutan memahami situasi kesulitan yang dialami oleh rakyat iaitu tidak dapat keluar ke bandar untuk membeli keperluan harian, pelajar-pelajar tidak dapat ke sekolah untuk meneruskan pembelajaran, terdapat warga pendidik terpaksa berjalan kaki sejauh 18 jam bagi menghantar bahan pengajaran untuk mengelakkan mereka tertinggal di dalam pelajaran malah jalan alternatif iaitu bot untuk merentasi sungai turut mendatangkan risiko bahaya ke atas keselamatan nyawa, Menteri Kanan Pertahanan,YB Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussein melalui perbincangan bersama Timbalan Menteri Kerja Raya, YB Datuk Arthur Joseph Kurup meminta TUDM membantu usaha murni membantu rakyat yang terjejas dan terputus bekalan keperluan utama sehingga masalah tersebut dapat diatasi sepenuhnya.

TUDM seterusnya telah mengatur gerak dua (2) buah helikopter EC 725 AP dari No 5 Skuadron melaksanakan misi tersebut yang membawa barang keperluan asas makanan berupa beras, minyak masak, tepung, gula , susu, ayam, daging, ikan, sardin, biskut, peralatan asas memasak serta pelbagai barangan dapur basah dan kering dengan berat anggaran 1.35 tan (2,984 lbs) berlepas dari Pangkalan Udara Labuan dan mendarat di padang Sekolah Kebangsaan Pengaraan.

Misi bermula jam 8.00 pagi dan selesai sepenuhnya pada waktu petang. Penerbangan helikopter pertama telah dikendalikan oleh Komander Pesawat, Mejar Khairul Safarin bin Abu Johan TUDM dibantu oleh Pembantu Juruterbang, Kapten Muhamad Fikry Haziq bin Mohamad Razuan TUDM, serta Kuartermaster Udara, Pegawai Waran Udara II Azrin bin Mohamad@Johor dan Flait Sarjan Gering Anak Edward.

Manakala penerbangan helikopter kedua dikendalikan oleh Komander Pesawat, Mejar Adi Imran bin Johany TUDM dibantu oleh Pembantu Juruterbang, Kapten Shamie Hazim bin Samsu TUDM, dan Kuatermaster Udara, Sarjan Udara Muhamad Hafizudin bin Zainal. Misi ini juga disertai oleh empat (4) orang anggota kejuruteraan dan pelaksanaan penghantaran bekalan makanan yang diambil di tempat pengumpulan barang bantuan di Airstrip Keningau sebelum diterbangkan Kampung Pengaraan, Nabawan.

Semoga aspirasi “Keluarga Malaysia” khususnya demi kesejahteraan rakyat sentiasa diteruskan dari semasa ke semasa dengan komitmen dan usaha bersepadu semua pihak yang terlibat.

Sumber : Tentera Udara Diraja Malaysia