Slide 1

BERITA TERKINI

KEMENTERIAN PERTAHANAN MALAYSIA
2022

SUBANG, 18 JUN 2022 – Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) hari ini melaksanakan Operasi Pembenihan Awan (OPA) di kawasan tadahan Empangan Bukit Merah, Semanggol Daerah Kerian Perak. OPA kali ini adalah usaha bersepadu melibatkan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (Ministry of Agriculture and Food Industries atau juga dikenali sebagai MAFI, Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia), Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) bersama TUDM.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan I, Datuk Seri Haji Ahmad Hamzah, turut meninjau persiapan bagi OPA yang bermula jam 9.00 pagi di Pangkalan Udara Subang.

Beliau yang diiringi oleh Pegawai Laksana Pangkalan Udara Subang, Kolonel Yusri bin Jamari TUDM menyertai taklimat pengoperasian oleh pihak Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia).

Beliau juga turut diberikan taklimat penerbangan dan keselamatan oleh Leftenan Kolonel Faizul Hussien bin Dato’ Ismail TUDM, Pegawai Memerintah No 20 Skuadron yang menerbangkan pesawat C130H bagi misi penerbangan OPA hari ini.

YB Datuk Seri Ahmad Hamzah di dalam kenyataannya menjelaskan operasi ini membabitkan kawasan tadahan Empangan Bukit Merah, Semanggol, Daerah Kerian, Perak melibatkan kawasan sawah seluas 19,058 hektar di Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Kerian dan 1,267 hektar Kawasan IADA Pulau Pinang.

Menurut beliau, operasi ini akan memberi manfaat kepada lebih sepuluh ribu orang pesawah di kawasan terlibat.

Turut mendapat manfaat daripada operasi ini ialah sektor perikanan, domestik dan pengilangan setempat. Paras air di Empangan Bukit Merah mencapai tahap kritikal sejak 27 Mei 2022 telah mengakibatkan gangguan bekalan air bagi tujuan domestik dan pengairan.

Dalam menangani isu ini, MAFI mengambil langkah segera bagi memulihkan bekalan air di kawasan yang terjejas dengan mendapatkan bantuan daripada MET Malaysia, NADMA dan TUDM.

Kerja-kerja bagi OPA bermula dengan bancuhan garam oleh pihak MET Malaysia dan TUDM bermula kira-kira jam 10.00 pagi sehingga 4 tong bancuhan garam dengan muatan 1,200 liter setiap tong dimasukkan ke badan pesawat C130H. Pesawat angkut TUDM yang diterbangkan oleh Pegawai Memerintah No 20 Skuadron,

Leftenan Kolonel Faizul Hussien bin Dato’ Ismail TUDM; Juruterbang Pertama, Mejar Zul Helmie bin Zainuddin TUDM dan Pembantu Juruterbang, Kapten Muhammad Zulhilmi bin Nordin TUDM berlepas jam 12.30 tengah hari dari Pangkalan Udara Subang.

Penerbangan bagi misi OPA turut disertai lapan (8) anak kapal iaitu Jurutera Penerbangan, Mejar Izran Hazry bin Malik TUDM dan Mejar Mohamad Yusoff bin Baydowi TUDM; Jurumalim, Mejar Muhammad Fadeli bin Sidek TUDM dan Kapten Muhammad Firdaus bin Osman TUDM; Loadmaster, PW U II Zulfamy bin Sulaiman, F/Sjn Mohd Firdaus bin Abd Rashid dan Sjn U Muhammad Ramdan bin Mohamad Mastor dan Pramugari, Sjn U (W) Nur Akhmar Ezira binti Mohd Yosof serta tiga (3) kakitangan MET Malaysia.

Semoga usaha bersepadu yang dilaksanakan dapat membantu usaha-usaha pembenihan awan bagi memulihkan bekalan air yang terjejas di kawasan tadahan hujan. Pihak TUDM melalui No 20 Skuadron tetap komited membantu misi OPA bermula hari ini dan diteruskan bergantung kepada keperluan. Semoga usaha tersebut membuahkan hasil dan dapat diatasi segera.

Sumber : Tentera Udara Diraja Malaysia