Slide 1

BERITA TERKINI

KEMENTERIAN PERTAHANAN MALAYSIA
2022

BANDUNG, 22 Jun 2022 – Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Dato' Sri Hj Affendi bin Buang TUDM telah mengadakan lawatan rasmi ke Indonesia bersempena penganjuran Mesyuarat High Level Committee (HLC) Malaysia Indonesia (MALINDO) kali ke-16 yang dijadual bermula pada 22 hingga 24 Jun 2022 bertempat di Bandung, Indonesia.

Ketibaan beliau dan rombongan di Lanud Husein Sastranegara telah disambut oleh Pegawai-pegawai Kanan dari Tentara Nasional Indonesia (TNI) sebelum dibawa meninjau ke PT Dirgantara Indonesia (PERSERO) bagi melihat fasiliti serta meninjau perkembangan pesawat CN235 milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang sedang dalam proses kerja menaiktaraf oleh syarikat tersebut.

HLC MALINDO adalah sebuah Jawatankuasa Bilateral yang dibentuk di bawah kerangka kerjasama pertahanan antara Malaysia dan Indonesia dimana Panglima TNI dan Panglima Angkatan Tentera bertindak sebagai Ketua Bersama HLC.

Secara tidak langsung, lawatan rasmi ini juga adalah merupakan agenda strategik dalam usaha untuk mengukuhkan lagi hubungan diplomasi serta kerjasama pertahanan diantara kedua-dua buah negara bertepatan dengan Teras Ke-4 dalam Perintah Ulung beliau iaitu Menterjemahkan Kertas Putih Pertahanan melalui pemerkasaan hubungan pertahanan antarabangsa.

Lawatan beliau ke Indonesia turut disertai oleh isteri merangkap Pengerusi Jemaah Tertinggi BAKAT ATM, Yang Amat Mulia Tengku Puteri Seri Teja Puan Sri Datuk Hajah Tengku Muhaini Binti Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah diiringi bersama oleh Ketua Staf Markas ATM, Lt Jen Datuk Zakaria bin Hj Yadi, Ketua Pengarah Perisikan Pertahanan (KPPP), Asisten Ketua Staf Operasi dan Latihan (OLP) dan Pegawai Kanan ATM yang lain.

Sumber : Angkatan Tentera Malaysia