Slide 1

BERITA TERKINI

KEMENTERIAN PERTAHANAN MALAYSIA
2022

SUBANG, 1 Jun 2022 - KDYMM Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan KDYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan mencemar duli berangkat ke Istiadat Perbarisan Hari Ulang tahun Tentera Udara Diraja Malaysia yang berlangsung di Pangkalan Udara Subang.

Istiadat perbarisan ini terdiri daripada 23 pegawai dan 420 anggota Lain-lain Pangkat (LLP) yang diketuai oleh Ketua Perbarisan, Leftenan Kolonel Hassan Basri bin Tajul Arifin TUDM .

Kontinjen perbarisan turut membawa Panji-Panji Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong iaitu Panji-panji Kolej Tentera Udara, No 10 Skuadron, No 12 Skuadron, No 15 Skuadron , No 16 Skuadron, No 18 Skuadron dan No 20 Skuadron bersama empat Skuadron Pengawal.

Selain itu, KDYMM Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong telah menerima penghormatan Diraja disertai terbang lintas hormat oleh 5 buah helikopter TUDM yang membawa bendera Malaysia, bendera ATM dan bendera TUDM disusuli dengan pemeriksaan perbarisan dengan menaiki kenderaan istiadat.

Seterusnya, KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong telah mencemar duli menyampaikan Titah Diraja sebagai menzahirkan sokongan Baginda kepada Tentera Udara Diraja Malaysia dan Warga Udara.

Hari Ulang Tahun TUDM ke-64 ini diraikan dengan penuh bersejarah dengan keberangkatan tiba KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan KDYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong.