Slide 1

BERITA TERKINI

KEMENTERIAN PERTAHANAN MALAYSIA
2022

CAPETOWN , 28 Mei 2022 – Panglima Tentera Darat (PTD), Jeneral Tan Sri Dato' Seri Zamrose bin Mohd Zain telah menghadiri Executive Review Meeting (ERM) Ke-17 Kenderaan Perisai 8x8 GEMPITA yang berlangsung di Capetown, Afrika Selatan pada hari ini.

Untuk makluman, ERM ini merupakan satu mesyuarat yang diadakan dua kali setiap tahun sebagaimana termaktub dalam Klausa 25 Projek Kontrak Perolehan Kenderaan Perisai 8x8 GEMPITA. Kenderaan Perisai 8x8 GEMPITA ini mempunyai 11 varians dan telah mula memasuki perkhidmatan sejak tahun 2014 demi memperkukuhkan dan memperkasakan aset Tentera Darat Malaysia (TDM).

Delegasi Malaysia bersama-sama hadir bagi mesyuarat ini terdiri daripada Asisten Ketua Staf Perancangan dan Pembangunan, Mejar Jeneral Rashidin Hashimi bin Ab Rashid, Ketua Pengarah Bahagian Penyelidikan dan Penilaian Tentera Darat, Brigedier Jeneral Ahmad bin Abu Bakar, Ketua Tim Projek Kenderaan Perisai 8x8 Beroda Gempita, Kolonel Azizan @ Azizan Long Ji bin Harun dan Mejar Mohd Noor Amin bin Md Jani.

Selain itu, ia telah dihadiri oleh wakil-wakil seperti daripada Kementerian Kewangan, Ketua Penolong Setiausaha Perolehan Kerajaan, Encik Noor Hisham Affizam bin Shamsudin dan Bahagian Perolehan Kementerian Pertahanan yang diwakili oleh Pegawai Staf (Darat) 1 Unit Perolehan 1 (Darat), Mejar Khairul Iskandar bin Kamanoorizahar.

Turut hadir semasa ERM Ke-17 Kenderaan Perisai 8x8 GEMPITA ini adalah Setiausaha Bahagian Perolehan Kementerian Pertahanan, Encik Mohammad Abiddin bin Abdul Rahman.

Delegasi luar negara dan wakil pengeluar syarikat kenderaan perisai tersebut turut melibatkan wakil-wakil daripada Denel Land System, FNSS, Thales Six France, dan Thales Malaysia.

Sesungguhnya mesyuarat sebegini adalah sejajar dengan Tonggak Pertama Perintah Ulung PTD Ke-28, iaitu; “Kelangsungan Misi dan Kesiagaan” dengan memberi penumpuan kepada peningkatan tahap kesiagaan, kompetensi dan aset TDM.

Sumber : Tentera Darat Malaysia