Slide 1

BERITA TERKINI

KEMENTERIAN PERTAHANAN MALAYSIA
2022

KUALA LUMPUR, 20 Mei 2022 - Menteri Kanan Pertahanan, YB Dato' Sri Hishammuddin Hussein telah menyempurnakan Majlis Pra Pelancaran Blueprint Perumahan 3.0 Kementerian Pertahanan bertempat di Galeri Jualan Platinum South Valley, Sungai Besi, Kuala Lumpur.

SASaR merupakan Program Satu Anggota Satu Rumah yang julung-julung kalinya diwujudkan untuk warga ATM dan warga awam Kementerian Pertahanan serta warga Veteran ATM bagi membela kebajikan anggota dan Veteran ATM dan ahli keluarga mereka.

Program ini dilaksanakan bertujuan memastikan lebih ramai anggota ATM dan warga awam Kementerian Pertahanan memiliki rumah sendiri sebelum mereka menamatkan perkhidmatan serta memberi peluang kepada veteran ATM memiliki rumah sendiri pada harga yang mampu dimiliki sekali gus meningkatkan taraf hidup mereka.

Projek ini merupakan sebahagian daripada inisiatif yang digariskan di bawah Blueprint Perumahan 3.0 Kementerian Pertahanan.

Demi memastikan agenda ini terus dapat dilaksanakan secara menyeluruh dan berfokus, Kementerian Pertahanan telah mewujudkan Blueprint Perumahan 1.0 pada Tahun 2017 iaitu hasil cadangan daripada YB Dato’ Seri Hishammuddin Hussein yang memegang portfolio Menteri Pertahanan pada ketika itu.

Susulan manfaat projek ini yang mengutamakan kebajikan warga Angkatan Tentera Malaysia, usaha ini terus diperluaskan dengan mewujudkan Blueprint Perumahan 2.0 pada tahun 2019.

Kini, hasil maklum balas yang positif daripada semua pihak, Kementerian Pertahanan melalui YB Dato’ Seri Hishammuddin Hussein yang sekali lagi dilantik sebagai Menteri Kanan Pertahanan meneruskan hasrat mewujudkan Blueprint Perumahan 3.0.

Program SASaR, Sateria Residensi yang berkeluasan 23.11 ekar telah dibangunkan oleh Syarikat Pembinaan Serta Hebat Sdn Bhd. Sebanyak 3,500 unit rumah melibatkan lima blok pangsapuri yang terdiri daripada tiga jenis unit iaitu Jenis A yang mempunyai 1,800 buah unit berkeluasan 1,000 kaki persegi berharga RM 150,000.00. Jenis B yang mempunyai 1,200 buah unit berkeluasan 1,100 kaki persegi berharga RM 199,000.00 dan Jenis C yang mempunyai 500 buah unit berkeluasan 1,200 kaki persegi berharga RM 250,000.00.

Rumah-rumah ini juga telah dipecahkan mengikut perkhidmatan iaitu Tentera Darat Malaysia sebanyak 1,800 unit (1,260 unit untuk anggota dan 540 unit veteran), TLDM sebanyak 600 unit (420 unit untuk anggota dan 180 unit veteran), TUDM sebanyak 600 unit (420 unit untuk anggota dan 180 unit veteran) dan bagi Kakitangan Awam Kementerian Pertahanan pula sebanyak 500 unit.

Dalam majlis yang sama, beliau turut menyaksikan Majlis Menandatangani Jual Beli Perumahan SASaR kepada tiga penerima daripada ketiga-tiga cabang Perkhidmatan. Ketiga-tiga penerima ini merupakan penerima bagi Program Corporate Social Responsibility (CSR) Projek SASaR ini. Mereka terdiri daripada Sjn Abdul Raset bin Maritus (TDM), Laskar Kanan Komunikasi Siti Zura Azwanie binti Abdullah (TLDM), serta Pn Nor Fatimah binti Ibrahim (TUDM).

Turut hadir, Timbalan Menteri Pertahanan, YB Dato’ Sri Ikmal Hisham bin Abdul Aziz; Ketua Setiausaha, YBhg Dato’ Sri Muez bin Abd Aziz; Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Dato’ Sri Haji Affendi bin Buang TUDM, serta pegawai-pegawai kanan awam dan tentera Kementerian Pertahanan dan ATM.