Slide 1

BERITA TERKINI

KEMENTERIAN PERTAHANAN MALAYSIA
2022

BUTTERWORTH, 18 Mei 2022 - Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) telah menunaikan impian adik Muhammad Irfan Mikail bin Mohd Shukri, berusia 15 tahun yang menanam cita-cita untuk menjadi seorang juruterbang pesawat pejuang TUDM. 

Impiannya itu telah dizahirkan oleh pihak Friend of Childhood-Cancer Northern (FOCCAN) yang menyampaikan hasrat ibu bapanya untuk memenuhi impian anak keempat mereka yang disahkan oleh pegawai perubatan mengidap kanser leukemia ALL (Acute Lymphoblastic Leukemia).

Atas dasar keprihatinan dan empati, TUDM melalui No 15 Skuadron, Pangkalan Udara Butterworth dan bantuan Kolej Tentera Udara telah mengkoordinasi bersama pihak FOCCAN melaksanakan tanggungjawab sosialnya bagi membantu menyampaikan hasrat dan impian seorang ‘pejuang muda’ yang berjuang melawan sakit kanser. Adik Irfan yang diiringi ibu dan bapanya, Puan Mazatul Rohana binti Saleh dan Encik Mohd Shukri bin Talib didatangkan dari kediaman mereka yang tinggal di Lorong Haji Talib, Kampung Guar Syed Alwi, Kangar Perlis ke Pangkalan Udara Butterworth.

Ketibaan adik Irfan dan keluarga disambut oleh Pegawai Laksana Pangkalan, Kolonel Engku Faizal bin Engku Mustafa TUDM; Pegawai Memerintah No 15 Skuadron, Leftenan Kolonel Mohd Hafiz bin Hj Abu Bakar TUDM; Pegawai Perubatan Rumah Sakit Angkatan Tentera Pangkalan Udara Butterworth, Leftenan Kolonel Dr Zarina Zakiah binti Zainuddin; Pegawai Jiwa Murni Skuadron, Kapten Mohd Faiz bin Hazmi TUDM serta warga Skuadron. Turut serta hadir ialah empat (4) pegawai dari Badan Bukan Kerajaan, FOCCAN bersama seorang lagi 'pejuang kanser' yang diketuai oleh Puan Hajah Siti Salmah Salleh.

Adik Irfan kemudiannya dibawa ke bilik persalinan dan disarungkan dengan “flying suit”. Setelah itu, taklimat lawatan dan pengenalan ringkas tentang skuadron yang mengoperasikan pesawat pejuang disampaikan oleh Pegawai Memerintah No 15 Skuadron, Leftenan Kolonel Hafiz TUDM yang mengiringi sepanjang lawatan. Sesi lawatan bermula dengan lawatan ke Hangar No 15 skuadron untuk melihat lebih dekat di samping bergambar bersama pesawat pejuang Hawk 108 dari No 15 Skuadron dan F/A-18D dari No 18 Skuadron serta juruterbang dan kru pesawat.

Sebagai meraikan tetamu istimewa TUDM ini, Adik Irfan dan keluarga turut dipersembahkan dengan pengoperasian pesawat pejuang Hawk bermula dari pemeriksaan awal pesawat sebelum terbang, melihat pesawat berlepas dan kembali mendarat. Adik Irfan kemudiannya dibawa melawat ke Pusat Simulator Pejuang dan merasai pengalaman mengendalikan simulator F/A-18D. Lawatan diakhiri dengan penyampaian cenderahati kenangan serta sumbangan kepada adik Irfan dan keluarga.

Melihat insan kerdil yang diuji dengan masalah kesihatan yang kronik, ternyata Adik Irfan adalah seorang “pejuang muda” dengan semangat juangnya melawan sakit kanser. Semoga tangungjawab sosial TUDM menunaikan impian adik Irfan dapat menggembirakan hatinya serta kedua ibu bapanya. Seluruh warga TUDM mendoakan agar adik Muhammad Irfan Mikail bin Mohd Shukri beroleh kesihatan yang baik, dipermudahkan segala urusan dan meminta agar semua turut mendoakannya.

Kredit : Tentera Udara Diraja Malaysia