Slide 1

BERITA TERKINI

KEMENTERIAN PERTAHANAN MALAYSIA
2022

SEMPORNA, 11 Mei 2022 – Panglima Angkatan Tentera (PAT), Jeneral Tan Sri Dato’ Sri Hj Affendi bin Buang TUDM dan isteri, Pengerusi Jemaah Tertinggi Badan Kebajikan Keluarga (BAKAT) Angkatan Tentera Malaysia (ATM), YAM Tengku Puteri Seri Teja Puan Sri Hajjah Tengku Muhaini binti Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah telah meluangkan masa melawat dan beramah mesra bersama warga ATM yang bertugas mengawal keselamatan persempadanan negara di Pulau Sipadan dan Pulau Kapalai pada 9 serta 10 Mei 22 yang lalu.

Lawatan tersebut membolehkan PAT dan Pengerusi Jemaah Tertinggi BAKAT ATM mendekati anggota ATM yang bertugas di pos-pos kawalan barisan hadapan disamping memberikan kata-kata semangat di atas jasa dan pengorbanan mereka yang bertugas selain berjauhan dari keluarga semasa Hari Raya Aidilfitri yang lalu.

Terlebih dahulu, PAT telah diberikan taklimat mengenai aturgerak anggota ATM dan keselamatan meliputi seluruh kawasan operasi di bawah tanggungjawab Angkatan Tugasan Bersama 2 (ATB 2) oleh PS 1 Kesiapsiagaan dan Keselamatan Operasi (KSOP), Lt Kol Nizar Azmir bin Hj Malek.

Pengerusi Jemaah Tertinggi BAKAT ATM turut mengambil kesempatan ini menasihatkan anggota ATM supaya menggalakkan penyertaan isteri mereka di dalam pelbagai program yang dianjur oleh BAKAT di pasukan mereka agar dapat membantu menambah pengetahuan isteri disamping mampu menjana pendapatan sampingan.

Turut mengiringi PAT dan isteri semasa lawatan tersebut adalah Ketua Staf ATB 2 (KS ATB 2), Kol Mohammed Firdauz bin Hj Osman TUDM, Pegawai Memerintah Batalion Ke-2 Rejimen Sempadan (2 RS), Lt Kol Mohd Ridzam bin Mat Rejab, Sarjan Mejar Rejimen ATM (SMR ATM) PW 1 Hayazi bin Abdul Aziz serta pegawai-pegawai dari Markas Angkatan Tugas Bersama 2 (ATB 2).

Sumber : Angkatan Tentera Malaysia