Slide 1

BERITA TERKINI

KEMENTERIAN PERTAHANAN MALAYSIA
2022

SABAH, 2 Mei 2022 - Panglima Tentera Darat (PTD), Jen Tan Sri Dato' Seri Zamrose Mohd Zain dan pimpinan tertinggi Tentera Darat (TD) meraikan Sambutan Hari Raya Aidilfitri bersama warga TD di Batalion Ketujuh Rejimen Askar Melayu Diraja (7 RAMD), Tawau.

Majlis yang turut dihadiri oleh Panglima Medan Timur Tentera Darat (PMT TD), Lt Jen Dato’ Mardzuki Muhammad turut meraikan mereka yang sedang melaksanakan operasi di perbatasan negara.

Mengangkat tema Hari Tentera Darat Ke-89 pada tahun ini iaitu "Kesejahteraan Keluarga TD Diutamakan, Kedaulatan Negara Terjamin," aspek kesejahteraan dan kebajikan menjadi fokus utama dalam mengekalkan moral dan semangat untuk warga TD melaksanakan tugasan dengan lebih baik dalam menjaga kedaulatan dan kepentingan negara.

Justeru, seramai 17 anggota yang kurang berkemampuan dan tiga anggota saudara baharu (mualaf) diraikan dalam acara penyampaian sumbangan Musaadah Ramadan, manakala sumbangan Aidilfitri juga turut disampaikan kepada pasukan-pasukan di bawah naungan Briged Ke-13 Infantri Malaysia (13 Bgd) terdiri daripada pasukan 7 RAMD, 26 RAMD, Batalion Ke-8 Rejimen Sempadan (8 RS), 13 Worksyop Briged dan Rejimen 516 Askar Wataniah.

Selain itu, PTD dan PMT TD juga turut mengadakan Sidang Video Khas bersama Panglima-panglima Formasi dan anggota TD yang sedang beroperasi di dalam dan luar negara seperti MALBATT 850-9 di Lubnan, TPA-16 di Mindanao, Filipina dan kesemua Operasi Teras TD di seluruh Malaysia.

Tambah bermakna, lebih 50 orang anak-anak warga TD sekitar Kem Kubota diraikan dalam acara penyampaian duit raya dan antara yang mencuri tumpuan adalah dekorasi Perkampungan Hari Raya Aidilfitri di Kampung Kubota dan kemeriahan sambutan tersebut diakhiri dengan persembahan bunga api.

Sumber : Markas Divisyen Kelima Infantri Malaysia