Slide 1

BERITA TERKINI

KEMENTERIAN PERTAHANAN MALAYSIA
2022

SEMPORNA, 3 Mei 2022 - Panglima Tentera Darat (PTD), Jeneral Tan Sri Dato' Seri Zamrose bin Mohd Zain telah mengadakan lawatan ke kawasan-kawasan operasi di kawasan perbatasan di negeri Sabah dan pos keempat yang dilawati oleh Tan Sri PTD adalah Kem Seri Wangsa.

Tan Sri PTD telah menzahirkan lawatan di perbatasan dengan sesi perjumpaan bersama anggota operasi di Markas Taktikal Batalion Kedua Rejimen Sempadan (MK Tak 2 RS), Kem Sri Wangsa. Tan Sri PTD turut menyempurnakan penyampaian beg Bingkisan Hari Raya Aidilfitri kepada anggota-anggota yang sedang bertugas.

Walaupun, lebaran Syawal diraikan tanpa keluarga tersayang, mereka terus tetap bersemangat memikul amanah dan tugas demi menjaga kedaulatan negara.

Warga Tentera Darat Malaysia (TDM) mengucapkan selamat bertugas kepada para pegawai dan anggota lain-lain pangkat (LLP) yang setia berkhidmat dalam aturgerak operasi TDM dalam melaksanakan penugasan di perbatasan negara.

Lawatan sebegini bertujuan agar Tan Sri PTD dapat menyantuni warga TDM secara bersemuka dengan hadir meraikan anggota TDM di kawasan perbatasan. Ia juga secara langsung dapat meningkatkan moral dan semangat juang anggota yang bertugas demi melaksanakan amanah sebagai benteng barisan hadapan negara. Acara ini adalah amat bertepatan dengan Tonggak Ketiga Perintah Ulung PTD Ke-28 iaitu “Pelestarian Kesejahteraan Warga”, yang memfokuskan kepada aspek kebajikan dan peningkatan moral warganya.

Kredit : Tentera Darat Malaysia