Slide 1

BERITA TERKINI

KEMENTERIAN PERTAHANAN MALAYSIA
2022

SUNGAI BESI, 19 April 2022 - KDYMM Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah, Sultan Negeri Kedah Darul Aman selaku Kolonel Yang DiPertua Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) dan Kor Perkhidmatan Diraja (KPD) telah berkenan untuk bercemar Duli berangkat ke Majlis Berbuka Puasa Bersama Warga RAMD dan KPD di Masjid Thoriq bin Ziyad Tentera Darat, Kem Perdana Sungai Besi.

Terdahulu, keberangkatan tiba KDYMM Tuanku Sultan Kedah telah disambut oleh Panglima Tentera Darat (PTD), Jeneral Tan Sri Dato' Seri Zamrose bin Mohd Zain, barisan kepimpinan tertinggi Tentera Darat Malaysia (TDM) dan Mantan Pengerusi RAMD iaitu Jen Tan Sri Dato' (Dr) Mohamed Hashim bin Mohd Ali (B).

Setelah selesai majlis berbuka puasa, KDYMM Tuanku Sultan Kedah diiringi oleh Tan Sri PTD bersama-sama dengan warga RAMD dan KPD yang hadir bagi menunaikan solat fardu Maghrib secara berjemaah, yang telah dipimpin oleh Timb Ketua Pengarah KAGAT iaitu Brig Jen Hamzah bin Adam.

Seterusnya, majlis diteruskan dengan Pengerusi RAMD, Mejar Jeneral Dato’ Haji Muhammad Huzaimi bin Sabri dan Pengerusi KPD, Mejar Jeneral Haji Abdul Aziz bin Samsi @ Haji Shamsudin telah mengadap dan merafak sembah memohon perkenan KDYMM Tuanku untuk menzahirkan pengurniaan sumbangan kasih kepada anggota yang cedera semasa latihan dan kemalangan sewaktu bertugas yang terdiri daripada tiga anggota RAMD dan tiga anggota KPD.

Majlis turut menyaksikan Pengerusi RAMD dan KPD mengadap dan merafak sembah bagi mpersembahkan cendera kenangan kepada KDYMM Tuanku Sultan Kedah.

Pelaksanaan majlis sebegini adalah selaras dengan Tonggak Ketiga Perintah Ulung PTD Ke–28 iaitu “Pelestarian Kesejahteraan Warga”, yang memfokuskan kepada aspek kerohanian dan kebajikan warganya. Diharapkan sumbangan yang diterima dapat meringankan bebanan yang ditanggung oleh penerima-penerima sumbangan tersebut.

Kredit : Tentera Darat Malaysia