Slide 1

BERITA TERKINI

KEMENTERIAN PERTAHANAN MALAYSIA
2022

KUALA LUMPUR, 18 April 2022 - Timbalan Menteri Pertahanan, YB. Dato' Sri Ikmal Hisham bin Abdul Aziz telah menghadiri Majlis Perjumpaan, Berbuka Puasa dan Ramah Mesra bersama Persatuan-Persatuan Veteran ATM bertempat di Wisma Perwira ATM.

Dalam majlis ini turut diadakan sesi dialog bersama 80 Persatuan-persatuan Veteran ATM dari seluruh negara yang bertujuan untuk mendapatkan input daripada veteran ATM mengenai permasalahan yang timbul dalam menjaga kebajikan persatuan dan ahli.

Selain itu, ia juga bagi memberi penerangan kepada semua ahli persatuan Veteran ATM berkaitan hala tuju persatuan dalam menjaga kebajikan ahli, membentuk jaringan kerjasama strategik antara persatuan dan Jabatan serta melahirkan persatuan veteran yang dinamik.

Kerajaan melalui Kementerian Pertahanan sentiasa berusaha untuk mencari inisiatif baru dalam usaha memperkasakan warga Veteran ATM dan akan terus membuat penambahbaikan bagi meningkatkan kualiti hidup warga Veteran ATM.
Setakat dari tahun 2020 sehingga kini, anggaran jumlah keseluruhan bantuan kebajikan yang telah dilaksanakan oleh kerajaan adalah sebanyak RM427,034,899.64 juta.

Antara usaha-usaha terkini yang telah dilaksanakan oleh Kementerian untuk Veteran ATM adalah bantuan kewangan oleh pihak Kerajaan, bantuan kewangan oleh Yayasan Veteran ATM, bantuan pengagihan kotak makan semasa pandemik Covid-19, Program Inisiatif Perumahan Veteran ATM, serta Program Cakna Veteran ATM.

Selain itu, dalam memastikan Veteran ATM terus mendapatkan peluang kerjaya kedua pasca Perkhidmatan, beberapa Inisiatif dan Pelan Peningkatan Sosioekonomi Veteran ATM telah dirangka serta berjaya direalisasikan antaranya Myveteranmall, Kerjaya Gig - Code 7, Ekspo Usahawan Veteran TLDM Tahun 2022, Kerjasama PERKESO - Myfuturejobs, Usahawan Tani Desatera, Renjer Perhilitan, serta Green Army.

Insentif-insentif yang telah pihak kerajaan realisasikan kepada Veteran ATM adalah sebagai penghargaan terhadap jasa dan bakti Veteran ATM mempertaruhkan nyawa, berkorban masa, dan tenaga semata-mata untuk menjaga kedaulatan negara ini. Sewajarnya kita menghargai segala jasa dan pengorbanan yang telah dicurahkan kepada negara tercinta.

Majlis ini turut dihadiri oleh Panglima-panglima Perkhidmatan serta kepimpinan tertinggi ATM dan MINDEF.