Slide 1

BERITA TERKINI

KEMENTERIAN PERTAHANAN MALAYSIA
2022

BUTTERWORTH, 15 April 2022 - Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) menjadi pembuka bagi Majlis Berbuka Puasa bersama Panglima Angkatan Tentera.

Bertempat di Wisma Ahli Udara, Pangkalan Udara Butterworth, Panglima Angkatan Tentera, Jen Tan Sri Dato' Sri Hj Affendi bin Buang TUDM serta isteri, YAM Tengku Puteri Seri Teja Puan Sri Hajah Tengku Muhaini binti Almarhum Sultan Hj Ahmad Shah selaku Pengerusi Jemaah Tertinggi BAKAT ATM berbuka puasa pada tanggal 15 Ramadan 1443H bersama kira kira 150 warga TUDM.

Ketibaan Panglima Angkatan Tentera dan isteri disambut oleh Panglima Tentera Udara, Jen Dato' Sri Mohd Asghar Khan bin Goriman Khan TUDM serta isteri, Datin Sri Bibi Nasratjahan binti Gulab Khan, Panglima-Panglima Pemerintahan dan Pegawai Kanan TUDM berserta isteri dan Komander Pangkalan Udara Butterworth, Brig Jen Norli Hisham bin Alwi TUDM serta isteri, Puan Ros Hana binti Ariffin, Pengerusi BAKAT PU Butterworth selaku tuan rumah majlis pada hari ini.

Turut diraikan di majlis berbuka puasa ini ialah bersama anak- anak dari Madrasah Tahfiz Hidayatul Ulum, Teluk Ayer Tawar dan Madrasah Tahfiz Nikmatul Iman, Penaga. Majlis dimulakan dengan bacaan doa berbuka puasa oleh Pegawai Agama Pangkalan, Kapt Nik Saiful Adli bin Abdullah dan azan maghrib dilaungkan oleh Pembantu Hal Ehwal Islam, LKpl Kamalul Azmi bin Ahmad.

Selepas berbuka puasa, Panglima Angkatan Tentera dan isteri serta jemputan menunaikan solat Maghrib, solat Isyak, solat Tarawih 8 rakaat dan Witir yang diimamkan oleh Pegawai Agama Pangkalan di Surau Salahuddin Al-Ayyubi, PU Butterworth.

Usai menunaikan solat, majlis diteruskan dengan moreh. Pengerusi Jemaah Tertinggi BAKAT ATM dengan diiringi oleh Pengerusi Jemaah BAKAT Udara menyantuni warga TUDM khususnya warga PU Butterworth serta menyampaikan sumbangan berupa sumbangan wang tunai dan barangan sebagai tanda keprihatinan kepada 48 warga udara yang mengidap sakit kronik, pasangan dan anak yang mengidap sakit kronik serta anak istimewa.

Pengerusi Jemaah Tertinggi BAKAT ATM juga sebagai tanda penghargaan dan keprihatinan beliau telah memberikan sumbangan untuk pembelian printer bagi kegunaan pelaksanaan aktiviti-aktiviti BAKAT Udara, PU Butterworth.

Seterusnya Panglima Angkatan Tentera menyantuni dan memberikan sumbangan kepada anak-anak madrasah tahfiz yang diraikan pada hari ini.

Sebagai tanda keprihatinan daripada ATM, empat (4) buah kerusi roda disumbangkan kepada pihak pangkalan yang diterima oleh Pegawai Perubatan, Lt Kol Dr. Zarina Zakiah binti Zainudin untuk Rumah Sakit Angkatan Tentera (RSAT) pangkalan untuk kegunaan anggota yang memerlukan.

Malah Panglima Angkatan Tentera turut menyumbangkan laptop untuk kegunaan pangkalan. Adalah menjadi tanggungjawab pucuk pimpinan ATM dalam menjaga kebajikan warganya selari dengan teras kedua dalam Perintah Ulung Panglima Angkatan Tentera ke-21 iaitu memperkasakan keperluan kebajikan, kesejahteraan keluarga dan juga kualiti hidup di samping memastikan institusi kekeluargaan warga ATM terus dinamik melalui peranan BAKAT.

TUDM turut menghargai dan berterima kasih di atas keprihatinan Panglima Angkatan Tentera dan isteri kepada warga TUDM secara keseluruhannya sebagai tanda penghargaan dan sokongan.

Kredit : Tentera Udara Diraja Malaysia