Slide 1

BERITA TERKINI

KEMENTERIAN PERTAHANAN MALAYSIA
2022

LABUAN, 18 April 2022 – Majlis Berbuka Puasa Warga Pangkalan Udara Labuan bersama Panglima Tentera Udara telah dilaksanakan bertempat di Dewan Mutiara, Pangkalan Udara Labuan. Majlis yang berlangsung pada 16 Ramadan 1443H turut dihadiri seramai 190 pegawai dan anggota Pangkalan Udara Labuan serta ahli BAKAT Udara pangkalan.

Ketibaan Panglima Tentera Udara,Jen Dato’ Sri Mohd Asghar Khan bin Goriman Khan TUDM dan isteri, Datin Sri Bibi Nasratjahan binti Gulab Khan telah disambut oleh Panglima Wilayah Udara 2, Mej Jen Dato’ Hj Shamsudin bin Kassim TUDM bersama-sama Komander Pangkalan Udara Labuan, Brig Jen Dato' Nur Hafis bin Abdul Karim TUDM dan isteri, Datin Maznah binti Hj Johari serta semua Pegawai Eksekutif Pangkalan.

Mengambil keberkatan Ramadan, pangkalan turut meraikan kehadiran anak- anak Tahfiz dari Maahad Tahfiz Al-Quran Al-Badr, WP Labuan untuk bersama-sama warga pangkalan dan Panglima Tentera Udara. Azan Maghrib menandakan masuk waktu berbuka telah dilaungkan oleh Pegawai Agama Pangkalan, Lt Muhammad Nazir Shauqy bin Zulkefly. Selepas berbuka puasa dengan juadah ringan, Panglima Tentera Udara dan isteri serta jemputan menunaikan solat Maghrib terlebih dahulu di Dewan Banquet sebelum kembali semula ke Dewan Mutiara bagi menikmati juadah berbuka puasa bersama hadirin yang hadir.

Sementara menunggu masuknya waktu Isyak, majlis diteruskan juga dengan penyampaian sumbangan hari raya kepada penerima yang terdiri daripada anggota, pasangan dan anak yang mengidap sakit kronik, anak istimewa serta anak yatim dan sumbangan kebajikan. Penyampaian sumbangan telah disempurnakan oleh Panglima Tentera Udara dan isteri sebagai tanda keprihatinan TUDM kepada seluruh warga pangkalan termasuk ahli BAKAT Udara.

Seterusnya Panglima Tentera Udara juga menyantuni dan memberikan sumbangan kepada anak-anak madrasah tahfiz yang diraikan serta kepada imam-imam jemputan di sepanjang bulan Ramadan tahun ini.

Panglima Tentera Udara dan isteri serta semua jemputan kemudiannya bersama-sama menunaikan solat fardu Isyak, solat sunat Tarawih dan Witir. Selesai menunaikan solat, Panglima Tentera Udara serta para jemputan telah disajikan dengan jamuan moreh di samping persembahan daripada pelajar-pelajar Maahad Tahfiz Al-Quran Al Badr, WP Labuan. Majlis turut diserikan dengan kesyahduan alunan Qasidah di akhir majlis.

Keprihatinan Panglima Tentera Udara dan isteri yang hadir dan menyantuni warga pangkalan amat dihargai dan pihak pangkalan berterima kasih atas masa yang diluangkan oleh Panglima Tentera Udara dan delegasi sebagai tanda sokongan kepimpinan tertinggi TUDM.

Kredit : Tentera Udara Diraja Malaysia