Slide 1

BERITA TERKINI

KEMENTERIAN PERTAHANAN MALAYSIA
2022

KUALA LUMPUR, 23 Mac 2022 - Panglima Tentera Udara, Jeneral Dato’ Sri Mohd Asghar Khan bin Goriman Khan TUDM telah menyampaikan Perintah Ulung beliau selaku Panglima Tentera Udara ke-20 yang berlangsung di Auditorium, Wisma Pertahanan, Kuala Lumpur.

Majlis yang dihadiri seramai 250 warga TUDM mengikut pematuhan SOP Covid-19 terdiri daripada pelbagai peringkat turut diikuti secara persidangan video ke seluruh Markas, Pangkalan serta unit naungan TUDM di seluruh Malaysia bagi memastikan perintah ulung ini dapat dihayati dan difahami bersama oleh seluruh warga TUDM.

Perintah Ulung Panglima Tentera Udara ke-20 dizahirkan dengan tujuan untuk memberi panduan, rujukan dan gambaran kepada semua lapisan warga TUDM berkenaan hala tuju TUDM di bawah pimpinan Jeneral Dato' Sri Mohd Asghar Khan TUDM sebagai Panglima Tentera Udara.

Di dalam ucapannya, beliau berikrar akan melaksanakan tanggungjawab ini dengan penuh keikhlasan dan mengikut lunas undang-undang dan memanjatkan doa ke hadrat Allah SWT agar dikurniakan kudrat fizikal, mental dan kerohanian di dalam melaksanakan amanah yang dipertanggungjawabkan kepadanya. Beliau juga berazam akan meneruskan kecemerlangan TUDM yang telah dipelopori oleh kepimpinan panglima-panglima yang terdahulu, dan meneruskan usaha demi menzahirkan TUDM sebagai sebuah angkatan yang kredibel dan berupaya di dalam mempertahankan kedaulatan negara.

Perintah Ulung Panglima Tentera Udara adalah berteraskan kepada enam tonggak utama untuk mendepani cabaran masa hadapan serta menentukan legasi kegemilangan TUDM agar sentiasa terpelihara. Enam tonggak utama tersebut adalah seperti berikut:
1. Pemantapan Keupayaan Dan Kesiagaan TUDM.
2. Keunggulan Struktur dan Kecemerlangan Organisasi.
3. Pemerkasaan dan Pengupayaan Warga Udara.
4. Mengoptimumkan Pengurusan Sumber dan Meningkatkan Budaya Inovasi.
5. Peningkatan Keupayaan TUDM Melalui Kolaborasi Bersama Industri Pertahanan Tempatan.
6. Kebajikan Sosial dan Kelestarian Warga.

Di dalam merealisasikan pencapaian enam tonggak utama, Jeneral Dato’ Sri Mohd Asghar Khan TUDM menggariskan empat faktor utama kepada kejayaan atau 'key success factors' yang perlu diberi perhatian oleh semua warga TUDM iaitu:
1. Modal insan yang berkualiti.
2. Penjanaan keupayaan aset-aset udara.
3. Pengurusan sumber kewangan yang berkesan.
4. Kualiti kepimpinan organisasi.

Beliau juga berkehendakan agar enam tonggak utama yang digariskan perlu dikupas, difahami, diterap serta dilaksanakan secara holistik di setiap formasi–formasi udara oleh setiap warga udara supaya setiap tindakan seterusnya akan memastikan TUDM sentiasa berfungsi sebagai sebuah angkatan udara yang efektif dan kredibel.

Pemahaman warga TUDM terhadap kesemua tonggak akan menjadi asas yang kukuh kepada setiap warga untuk membangun dan meletakkan perkhidmatan TUDM ke tahap yang tinggi.Beliau juga turut meletakkan kepercayaan kepada semua peringkat warga udara agar dapat bersama beliau di dalam usaha merealisasikan visi dan misi TUDM untuk menjadi kuasa udara yang berspektrum tinggi melalui pelan strategik TUDM.

Perintah Ulung ini dilihat bukan sahaja akan memberi tumpuan terhadap tonggak baharu yang diperkenalkan untuk semua warga TUDM malahan juga akan meneruskan kesinambungan dari pimpinan terdahulu seperti CAP55 dan penyataan serta inisiatif – inisiatif yang termaktub di dalam Kertas Putih Pertahanan dan Rangka Strategi Ketenteraan Negara telah menetapkan tanda aras bagi TUDM, khususnya dalam aspek pembangunan keupayaan.

Sejajar dengan Perintah Ulung Panglima Tentera Udara Ke-20, tonggak ke-6 iaitu Kebajikan Sosial dan Kelestarian Warga, di mana TUDM melestarikan pendekatan terhadap kebajikan setiap anggota, acara diteruskan dengan Sumbangan Kebajikan TUDM dari Kelab Sukan, Sosial & Kebajikan ATM (KSSKA) dan Tabung Kebajikan TUDM kepada sembilan penerima.

Turut hadir di majlis ini ialah Timbalan Panglima Tentera Udara, Lt Jen Dato’ Indera Hj Mohammad Salleh bin Hj Osman TUDM; Panglima Operasi Udara, Lt Jen Dato’ Indera Muhamad Norazlan bin Aris TUDM; Panglima Pendidikan dan Latihan Udara; Lt Jen Dato’ Mohd Shahada bin Ismail TUDM; Panglima Bantuan Udara, Brig Jen Masro bin Kaliwon TUDM; Asisten-asisten Ketua Staf, pegawai-pegawai Kanan, anggota Lain-lain Pangkat serta warga ATM di bawah naungan TUDM.

Kredit: Tentera Udara Diraja Malaysia