Slide 1

BERITA TERKINI

KEMENTERIAN PERTAHANAN MALAYSIA
2022

KEMBOJA, 17 Mac 2022 - Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Dato’ Sri Hj Affendi bin Buang TUDM telah menghadiri ke sesi persidangan mesyuarat 19th ASEAN Chief of Defence Forces yang berlangsung di Phnom Penh, Kemboja, hari ini.

Membawa tema "Solidarity for Harmonized Security" mesyuarat tersebut telah menghimpunkan penglibatan Panglima Angkatan Tentera dari negara-negara ASEAN yang lain bagi membincangkan, berkongsi maklumat dan bertukar pandangan mengenai isu keselamatan bersama di rantau ini.

Selain itu, mesyuarat ini turut dijadikan sebagai satu landasan untuk mengukuhkan dan mengembangkan kerjasama dalam menangani pelbagai isu yang mengancam sektor keselamatan serta memperkukuh keamanan, kestabilan dan kemakmuran serantau.

Pertemuan bersama ini sekaligus membuktikan semangat kerjasama, perpaduan yang erat dan persahabatan yang baik telah terjalin antara Malaysia dengan negara anggota ASEAN yang lain.

Dalam persidangan pada kali ini turut menyaksikan penglibatan Ketua Pengarah Perisikan Pertahanan, Leftenan Jeneral Datuk Ahmad Norihan bin Jalal yang akan hadir ke persidangan ASEAN Military Intelligence Meeting (AMIM) manakala Asisten Ketua Staf Operasi dan Latihan Pertahanan (OLP), Mejar Jeneral Dato' Zaidan bin Atan pula akan menghadiri ke persidangan ASEAN Military Operation Meeting (AMOM) yang juga merupakan sebahagian dari aktiviti persidangan negara ASEAN yang berlangsung mulai 14 hingga 17 Mac 2022.

Di akhir mesyuarat, General Vong Pisen, Commander-in-Chief of the Royal Cambodian Armed Forces (RCAF) telah menyerahkan jawatan pengerusi ACDFM kepada Wakil Panglima Angkatan Tentera Tentera Nasional Indonesia (TNI), Lt Gen Eko Margiyono yang akan mempengerusikan Mesyuarat ACDFM ke-20 pada tahun 2023 di Indonesia.