Slide 1

BERITA TERKINI

KEMENTERIAN PERTAHANAN MALAYSIA
2022

KOTA TINGGI, 15 Mac 2022 - Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Dato’ Sri Haji Affendi bin Buang TUDM hari ini telah membuat lawatan bagi meninjau pelaksanaan OPERASI BENTENG KHAS 2 (OBK2); dikoordinasikan oleh pasukan National Task Force (NTF) yang dilaksanakan selama empat (4) hari berpangkalan di KD Sultan Ismail (KDSI) Tg. Pengelih, Kota Tinggi, Johor.

Turut hadir sama adalah Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Laksamana (M) Dato' Mohd Zubil bin Mat Som, Komander NTF, Laksamana Madya Dato’ Aris Adi Tan bin Abdullah Panglima Medan Barat, Tentera Darat Malaysia, Leftenan Jeneral Dato’ Muhamad Hafizuddeain bin Jantan, Panglima Armada Barat, Laksamana Madya Datuk Abu Bakar bin Md Ajis dan Panglima Wilayah Udara 1, Mejar Jeneral Dato’ Zahani bin Zainal Abidin TUDM dan Ketua Staf Operasi NTF, DCP Dato' Hj. Mohd Yusoff bin Mamat.

OBK2 ini dilaksanakan adalah bertujuan menilai keupayaan dan kecekapan serta kesiagaan aset komponen daratan, maritim dan udara, di samping mempraktikkan Perintah, Kawalan dan Komunikasi dalam struktur Op BENTENG sedia ada selain meningkatkan situational awareness dan land and maritime domain awareness agensi-agensi yang terlibat.

OBK2 juga merupakan salah satu usaha untuk penambahbaikan Prosedur Tetap Operasi (PTO) NTF setiap komponen berdasarkan penilaian terhadap sebarang tindakan yang dilaksanakan di lapangan.

Seiring dengan objektif membanteras kemasukan PATI bagi mengekang penularan COVID-19 dan jenayah rentas sempadan di Negeri Johor, OBK2 yang dilaksanakan di Sektor 8 dan pesisir pantai negeri Johor mulai 13 hingga 16 Mac 2022 dengan penglibatan 18 agensi di bawah NTF ini adalah berikutan statistik pembolosan PATI yang tinggi serta kawasan tersebut kekal sebagai hotspot di Paksi Ancaman 3 Op BENTENG.

Penglibatan 18 agensi di bawah NTF dalam OBK ini adalah terdiri daripada ATM melibatkan aturgerak pasukan dari TDM, TLDM dan TUDM, Polis Diraja Malaysia melibatkan Pasukan Gerakan Am (PGA), Pasukan Gerakan Udara (PGU) dan Pasukan Polis Marin (PPM), Agensi Penguatkuasaan Malaysia (APMM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan lain-lain agensi. Semua agensi yang terlibat akan melaksanakan rondaan dan memperagakan kehadiran serta menguatkuasakan undang-undang di kawasan perairan dan pesisir pantai Negeri Johor.

Johor merupakan negeri kedua tertinggi bagi kes kemasukan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) Indonesia khususnya dari Pulau Bintan dan Pulau Batam yang merupakan exit point sebagai lokasi permulaan untuk masuk ke Malaysia. Kawasan Pantai Timur Johor dari Bandar Penawar sehingga ke Tanjung Sedili adalah kawasan yang aktif dengan aktiviti pendaratan PATI.

Kawasan pesisir pantai yang landai dan jauh daripada penempatan penduduk memberi kelebihan kepada penyeludup untuk menyusup masuk dan mendaratkan PATI. Mengikut analisis semasa, ancaman yang terdapat di Paksi 3 bukan sahaja melibatkan aktiviti penyeludupan PATI, malah kegiatan penyeludupan barang kawalan seperti rokok, minuman keras dan barang terlarang termasuk dadah, turut aktif di Selatan Semenanjung.

Berdasarkan statistik kes di Johor mulai Mei 2020 sehingga 10 Mac 22, sebanyak 1,074 kes telah dilaporkan merangkumi 928 kes tangkapan, 111 kes penglihatan, empat (4) kes pengusiran, 30 kes rampasan barang tanpa tangkapan dan satu (1) kes melibatkan rompakan laut. Anggaran keseluruhan nilai rampasan adalah berjumlah RM175 juta.

Dalam tempoh kajian ini juga, seramai 4,278 orang PATI telah ditangkap, yang mana daripada jumlah tersebut seramai 3,476 PATI merupakan warganegara Indonesia, 165 orang warganegara Bangladesh, 163 orang warganegara Myanmar, 151 orang warganegara Vietnam, dua (2) orang etnik Rohingya dan 321 orang daripada lain-lain negara.

Sebelum mengakhiri lawatan di Pusat Operasi OBK2 di KDSI, Panglima Angkatan Tentera telah dibawa terlebih dahulu ke MK Taktikal Pos Tg. Sepang untuk meninjau kawasan OP MERPATI 1 di bawah kawalan operasi 7 Bgd yg juga mengawal 22 Pos Pemerhati sepanjang perairan pantai dari Endau Rompin ke Kg Panchur. Beliau turut dipertontonkan dengan senario OP BENTENG KHAS yang melibatkan tangkapan PATI di Tg Penyusup sebelum ke Abu Bakar Maritime Base (ABMB), Batu Tengah bagi melihat pengoperasian kawalan maritim di pangkalan tersebut.

Sumber : Angkatan Tentera Malaysia