Slide 1

BERITA TERKINI

KEMENTERIAN PERTAHANAN MALAYSIA
2022

SUBANG, 7 Mac 2022- Di istiadat Perbarisan Persaraan Panglima Tentera Udara ke-19, turut diadakan Upacara Pemakaian Pangkat kepada Lt Jen Dato’ Sri Mohd Asghar Khan bin Goriman Khan TUDM yang telah dinaikkan ke pangkat ‘Jeneral TUDM’. Beliau sebelum ini merupakan Timbalan Panglima Tentera Udara selama dua (2) tahun bermula Januari 2020. 

Upacara pemakaian pangkat ini telah disempurnakan secara bersama oleh Jen Tan Sri Ackbal bin Hj Abdul Samad TUDM, Panglima Tentera Udara Ke-19 dan isteri Panglima Tentera Udara Ke-20, Datin Sri Bibi Nasratjahan binti Gulab Khan serta disaksikan oleh Panglima Angkatan Tentera, Jen Tan Sri Dato’ Sri Hj Affendi bin Buang TUDM.

Upacara bersejarah ini diteruskan dengan Serah Terima Jawatan Panglima Tentera Udara di antara Jen Tan Sri Ackbal bin Hj Abdul Samad TUDM dan Jen Dato’ Sri Mohd Asghar Khan bin Goriman Khan TUDM. Acara dimulakan dengan menandatangani Nota Serah Terima Tugas yang disaksikan Panglima Angkatan Tentera. Seterusnya, disusuli dengan penyerahan ‘Tonggak Kuasa’ sebagai simbolik penyerahan kuasa yang menyaksikan secara rasminya Jen Dato’ Sri Mohd Asghar Khan bin Goriman Khan TUDM memegang tampuk pemerintahan TUDM. Beliau kemudiannya mengambil tabik hormat sebagai Panglima Tentera Udara Ke-20 daripada kontinjen perbarisan.

Di dalam Sidang Media, Jen Dato’ Sri Mohd Asghar Khan turut menjunjung kasih dan melafazkan ikrar taat setia yang tidak berbelah-bahagi atas perkenan oleh KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, selaku pemerintah tertinggi Angkatan Tentera Malaysia untuk beliau menggalas tugas Panglima Tentera Udara Ke-20. Beliau turut mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih dan penghargaan kepada kerajaan Malaysia khususnya kepada YAB Perdana Menteri dan YB Menteri Kanan Pertahanan serta kepada Panglima Angkatan Tentera, Jen Tan Sri Dato’ Sri Haji Affendi bin Buang TUDM; Panglima Tentera Darat dan Panglima Tentera Laut termasuk mantan-mantan Panglima Tentera Udara kerana telah memberi sepenuh kepercayaan, bimbingan serta sokongan kepada beliau untuk memimpin serta menerajui TUDM.

Beliau juga mewakili seluruh warga TUDM menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih yang tidak terhingga kepada Jen Tan Sri Ackbal bin Hj Abdul Samad TUDM yang telah menerajui TUDM selama lebih dua tahun dan berupaya menghadapi cabaran dalam berhadapan dengan situasi yang tidak dijangka iaitu pandemik Covid-19. Malahan, penglibatan dan komitmen TUDM terbukti dengan atur gerak aset dan penglibatan pegawai dan anggota TUDM sebagai kumpulan Barisan Hadapan (Frontliners) di dalam Op PENAWAR dan Op BENTENG. TUDM juga telah meningkatkan keupayaan mobiliti udaranya bagi memastikan misi penghantaran peralatan perubatan, rawatan dan barangan keperluan asas serta Program Vaksinasi Kebangsaan untuk menangani Covid-19 dapat dilaksanakan pada masa aktiviti penerbangan logistik dan komersial yang lain terjejas.

Dikesempatan ini, beliau turut mewakili isteri, Datin Sri Bibi Nasratjahan binti Gulab Khan mengucapkan terima kasih kepada Puan Sri Norainy binti Shahar Alam yang menerajui tugas sebagai Pengerusi Jemaah Tertinggi BAKAT Udara atas jasa bakti yang dicurahkan kepada Badan Kebajikan Keluarga Angkatan Tentera (BAKAT) khususnya BAKAT Udara dan BAKAT ATM amnya sejak dahulu, sehingga tugas terakhir beliau selaku Pengerusi Jemaah Tertinggi BAKAT Udara.

Akhir sekali, beliau mengucapkan terima kasih kepada pihak media yang sentiasa memberikan kerjasama dalam membuat liputan berita yang positif buat TUDM dan ATM selama ini serta terus memberikan sokongan yang padu serta menyampaikan maklumat-maklumat yang betul dan tepat untuk meningkatkan lagi imej dan kepercayaan rakyat terhadap pasukan keselamatan dan pertahanan.

Turut hadir dalam upacara ini ialah Panglima Angkatan Bersama, Lt Jen Dato’ Indera Hj Yazid bin Arshad TUDM; Panglima Operasi Udara, Lt Jen Dato’ Indera Hj Mohammad Salleh bin Hj Osman TUDM; Panglima Bantuan Udara, Lt Jen Dato’ Indera Muhamad Norazlan bin Aris TUDM; Panglima Pendidikan dan Latihan Udara, Mej Jen Dato’ Mohd Shahada bin Ismail TUDM serta warga TUDM sekitar Lembah Klang.

Kredit : Tentera Udara Diraja Malaysia