Slide 1

BERITA TERKINI

KEMENTERIAN PERTAHANAN MALAYSIA
2022

SUBANG, 7 Mac 2022 – Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) hari ini telah melaksanakan Istiadat Perbarisan YBhg Jen Tan Sri Ackbal bin Hj Abdul Samad TUDM, Panglima Tentera Udara yang ke-19 bertempat di Pangkalan Udara Subang.

Istiadat perbarisan ini sebagai satu penghormatan TUDM khusus kepada beliau di atas khidmat bakti dan sumbangan yang telah dicurahkan selama 42 tahun di dalam perkhidmatan TUDM khasnya dan ATM amnya.

Turut hadir dalam Istiadat Perbarisan Persaraan ialah Panglima Angkatan Bersama, Lt Jen Dato' Indera Hj Yazid bin Arshad TUDM; Panglima Operasi Udara, Lt Jen Dato’ Indera Hj Mohammad Salleh bin Hj Osman TUDM; Panglima Bantuan Udara, Lt Jen Dato’ Indera Muhamad Norazlan bin Aris TUDM; Panglima Pendidikan dan Latihan Udara, Mej Jen Dato’ Mohd Shahada bin Ismail TUDM serta warga TUDM di sekitar Lembah Klang.
 
Istiadat perbarisan ini terdiri daripada 28 pegawai dan 431 anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) yang diketuai oleh Leftenan Kolonel Abdul Rahim bin Jusoh TUDM selaku Ketua Perbarisan; Mejar Norisman bin Idris TUDM selaku Penolong Ketua Perbarisan; Ajutan Perbarisan, Kapten Muhammad Iskandar bin Ahawan TUDM; Pegawai Waren Perbarisan, Pegawai Waren Udara 1 Rafieen bin Abdul Aziz yang diiringi oleh gabungan Pancaragam Pusat TUDM; Kolej Tentera Udara, Alor Setar dan Akademi Tentera Udara, Ipoh di bawah pimpinan Kapten Sabri bin Hamil TUDM. Perbarisan istiadat ini melibatkan lapan (panji-panji iaitu Panji-panji Rejimen TUDM, Kolej Tentera Udara, No 10 Skn, No 12 Skn, No 15 Skn, No 16 Skn, No 18 Skn dan No 20 Skn bersama empat skuadron pengawal.
 
Perbarisan dimulakan dengan penghormatan kepada Jen Tan Sri Ackbal TUDM, daripada anggota perbarisan diikuti terbang lintas hormat tiga (3) buah helikopter EC 725 AP yang membawa bendera Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) serta pemeriksaan perbarisan. Seterusnya, diikuti terbang lintas aset operasi udara yang melambangkan keupayaan peralatan persenjataan serta kesiagaan aset-aset TUDM bagi menjamin keberkesanan pelaksanaan tugas operasi bersama yang melibatkan pesawat-pesawat dari pelbagai kategori seperti pesawat pejuang, pengangkut dan helikopter.
 
Jen Tan Sri Ackbal kemudiannya menyempurnakan perbarisan persaraan dengan menyampaikan ucapan kepada kepada hadirin yang hadir. Di dalam ucapannya, beliau mengulangi lapan (teras Perintah Ulung yang telah digariskan semasa mula memegang tampuk pimpinan TUDM yang telah dapat dilaksanakan bersama pengurusan TUDM yang lain. Beliau melahirkan rasa bangga di atas kemampuan TUDM khususnya pemantapan keupayaan senggaraan yang telah dapat direalisasikan apabila Bahagian Kejuruteraan berjaya melaksanakan sendiri senggaraan barisan kedua sistem C2 Sentry, dan senggaraan berkala Structural Inspection 18 tahun (ST-18) ke atas pesawat C-130 serta Penyelenggaraan Barisan Kedua (Intermediate Level Maintenance) 1200 jam/3 tahun ke atas beberapa buah pesawat helikopter EC 725 AP.
 
Selain itu, menurutnya TUDM turut berjaya melaksanakan sebanyak hampir 250 penerbangan bantuan Covid-19 sehingga kini yang turut merangkumi misi di peringkat antarabangsa, seperti penugasan Humanitarian Assistance and Disaster Relief (HADR) ke Phnom Penh, Kemboja bagi perkhidmatan penghantaran barang bantuan Covid-19. Justeru, setiap kejayaan cemerlang yang telah dicapai ini telah meningkatkan imej dan reputasi TUDM serta peningkatan kepercayaan dan keyakinan kerajaan dan rakyat.
 
Jen Tan Sri Ackbal juga menzahirkan rasa bertuah, bangga dan terima kasih atas sokongan padu daripada barisan pemimpin di dalam TUDM, bermula dari Timbalan Panglima Tentera Udara, Lt Jen Dato’ Sri Mohd Asghar Khan bin Goriman Khan TUDM, Panglima-Panglima Pemerintahan dan Wilayah; Asisten-Asisten Ketua Setaf; semua Komander-Komander di pangkalan; Pegawai-Pegawai Memerintah Skuadron dan terpenting adalah sokongan daripada seluruh warga TUDM, tanpa mengira pangkat, perajurit lelaki mahupun wanita, dan barisan pekerja-pekerja awam yang telah bersama-sama berganding bahu berusaha untuk memulakan suatu pembaharuan dalam budaya kerja agar berkualiti, relevan dan berkesan.
Beliau juga bagi pihak isteri, Puan Sri Norainy binti Shahar Alam, mengucapkan terima kasih kepada seluruh barisan para isteri dan ahli-ahli BAKAT Udara yang telah memberi sokongan padu dan tidak berbelah bahagi semasa menerajui BAKAT Udara. Beliau dan isteri berharap agar ahli-ahli BAKAT terus maju, bersatu hati dan sejiwa serta terus memperkasakan lagi fungsi BAKAT untuk terus memberi sumbangan kepada kesejahteraan institusi kekeluargaan di dalam TUDM.
Di akhir ucapannya, Jen Tan Sri Ackbal menyeru agar seluruh warga TUDM terus berkhidmat dengan jujur dan ikhlas dengan semangat kerjasama yang mampan serta memberi kerjasama yang jitu kepada Panglima Tentera Udara Ke-20, Leftenan Jen Dato’ Sri Asghar Khan bin Goriman Khan TUDM serta isteri, Datin Sri Bibi Nasratjahan binti Gulab Khan.
 
Di akhir acara, Panglima Tentera Udara Ke-19 dan isteri diraikan dalam acara send-off dengan "street lining" dengan penuh adat istiadat ketenteraan. Seluruh warga TUDM mengucapkan Selamat Bersara dan Selamat Maju Jaya kepada Jen Tan Sri Ackbal bin Hj Abdul Samad TUDM dan Puan Sri Norainy binti Shahar Alam.
 
Kredit : Tentera Udara Diraja Malaysia