Slide 1

BERITA TERKINI

KEMENTERIAN PERTAHANAN MALAYSIA
2022

JOHOR, 6 Mac 2022 - Perdana Menteri, YAB Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob diiringi Menteri Kanan Pertahanan, YB Dato' Seri Hishammuddin Hussein telah menyempurnakan Majlis Pelancaran Rumah Keluarga Malaysia Angkatan Tentera (RKMAT) Kem Segamat, Johor.

RKMAT Kem Segamat ini mula dibina pada 24 April 2018 dengan kos RM147.7 juta. Ia merangkumi 305 unit RKMAT pelbagai kelas untuk kemudahan keluarga pegawai dan anggota pasukan Rejimen Ke-4 Artileri Diraja (RAD). Ini menggambarkan keseriusan MINDEF untuk memelihara moral dan semangat para anggota melalui aspek kediaman.

YAB Perdana Menteri turut memaklumkan bahawa Kementerian Pertahanan telah meluluskan pembinaan Kem Segamat Fasa 2, yang akan dilengkapi lebih banyak fasiliti dan kemudahan. Ia juga bakal melengkapkan keseluruhan fungsi kem Segamat, dengan fasiliti serta kemudahan yang akan dibina termasuk pembinaan bangunan guna sama seperti Wisma Perwira, Wisma Bintara dan Pusat Perubatan Angkatan Tentera.

Terdapat beberapa lagi RKMAT yang telah siap pembinaannya dan bakal atau telah diduduki. Ini termasuklah 223 unit pelbagai kelas RKMAT 11 RAMD Kem Semenggo yang telah diduduki pada 10 Mac 2021, 20 unit pelbagai kelas RKMAT 30 Briged Kem Oran yang pembinaannya telah siap sepenuhnya dan dilancarkan pada 21 Februari 2022 serta 204 unit pelbagai kelas RKMAT 13 RAMD Kem Pakit yang telah selesai Lembaga Ambil Alih pada 16 Februari 2022.

Selain itu, terdapat 552 unit RKMAT melibatkan 4 buah kem bakal siap tahun ini. Ini termasuklah 78 unit di 20 RAMD Kem Miri, 65 unit di 6 RAMD Kem Tok Jalai, 135 unit di 2 Rejimen Sempadan Kem Tumbi dan 274 unit di 34 RAD Kem Bera.
YB Menteri Kanan Pertahanan turut menyatakan Blueprint Perumahan MINDEF 3.0 akan dilancarkan dalam masa terdekat. Jumlah RKMAT yang akan dibina di bawah Blueprint Perumahan MINDEF 3.0 ini adalah mengikut perancangan menyeluruh yang selari dengan Aspirasi Keluarga Malaysia iaitu menitikberatkan kesejahteraan hidup setiap Keluarga Malaysia yang berbilang bangsa, agama serta budaya.

Turut hadir, Menteri Besar Johor, YAB Datuk Ir Hasni Mohammad; serta pegawai kanan awam dan tentera Kementerian Pertahanan.